KUALA LUMPUR 7 Mei – Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB), Datuk Abdul Rahman Ahmad kembali menyertai Sime Darby Bhd sebagai pengerusi bukan bebas bukan eksekutif berkuat kuasa serta merta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, Sime Darby berkata Abdul Rahman menggantikan Tan Sri Samsudin Osman yang melepaskan jawatan pada 31 Disember tahun lalu atas sebab peribadi.
Abdul Rahman, 56, bukan nama asing dalam kumpulan itu apabila pernah memegang jawatan sama di Sime Darby antara 2019 hingga 2020.
Pelantikan semula beliau dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa penggal keduanya di PNB bakal berakhir tidak lama lagi.
Menurut laporan media sebelum ini, Abdul Rahman dijangka menamatkan tugas di PNB hujung Mei ini dan akan bercuti sehingga kontraknya tamat pada Jun sebelum digantikan oleh Timbalan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Rizal Rickman Ramli bermula 1 Julai.
PNB merupakan antara pemegang saham utama Sime Darby dengan pegangan 4.24% setakat September tahun lalu.
Pada masa sama, AmanahRaya Trustees Bhd selaku pengurus Amanah Saham Bumiputera di bawah PNB kekal sebagai pemegang saham terbesar Sime Darby dengan pegangan sebanyak 32.4%.
Abdul Rahman mempunyai pengalaman luas dalam sektor korporat dan kewangan negara.
Beliau memulakan kerjaya di Arthur Andersen di London sebelum menyertai beberapa syarikat termasuk Pengurusan Danaharta Nasional Bhd dan SSR Associates Sdn Bhd.
Beliau turut pernah menerajui CIMB Group Holdings Bhd dan CIMB Bank Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan dari 2020 hingga 2024.
Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PNB dari 2016 hingga 2020.
Selain itu, beliau juga pernah memegang jawatan kanan di Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB), Media Prima Bhd dan Ekuiti Nasional Bhd.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman kini turut menganggotai lembaga pengarah Amanah Saham Nasional Bhd, syarikat pengurusan amanah milik penuh PNB. - DagangNews.com








