A1 AK Koh buka dagangan di Pasaran ACE pada harga IPO 25 sen raih RM27.3 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

A1 AK Koh buka dagangan di Pasaran ACE pada harga IPO 25 sen raih RM27.3 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR, 11 Julai – A1 AK Koh Group Bhd membuka dagangan stabil di Pasaran ACE Bursa Malaysia hari ini apabila sahamnya dibuka pada harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen.

 

Syarikat pengeluar makanan dan minuman yang berpangkalan di Johor itu mencatat lebih 6.5 juta saham diniagakan dalam sesi awal, dengan harga bergerak antara 24.5 sen hingga 25.5 sen, menjadikannya antara saham paling aktif didagangkan.

 

Ditubuhkan pada 1986, A1 AK Koh menghasilkan lebih 340 produk makanan diproses termasuk snek, mi, perisa, makanan laut dalam tin dan minuman. Ia turut terlibat dalam pengilangan kontrak serta membekalkan produk kepada jenama pihak ketiga.

 

Produk syarikat dikeluarkan di kilangnya di Senai dan Long An, Vietnam dan dieksport ke lebih 10 negara.

 

Menerusi penyenaraian ini, A1 AK Koh meraih kutipan RM27.3 juta. Sebahagian hasil digunakan bagi pembinaan kilang baharu bernilai RM5 juta, RM1.8 juta untuk menaik taraf kilang sedia ada, RM8 juta bagi tujuan pemasaran dan promosi, RM4 juta untuk modal kerja dan RM4 juta lagi bagi pembayaran semula pinjaman bank.

 

Baki RM4.5 juta akan digunakan untuk menampung perbelanjaan berkaitan penyenaraian. - DagangNews.com