KUALA LUMPUR 5 Nov – Sebanyak 98% penerima bulanan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di seluruh negara telah membelanjakan sejumlah RM3.66 bilion untuk membeli keperluan asas menggunakan MyKad setakat 3 November.
Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata dalam tempoh sama, 100% penerima bantuan di negeri Perlis, Sabah, Kelantan, Terengganu dan Kedah telah menggunakan bantuan SARA untuk pembelian keperluan asas.
“Bagi penerima SARA Penghargaan secara sekali bayar sebanyak RM100, seramai 18.3 juta orang atau 83% telah berjaya menerima manfaat tersebut melibatkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.69 bilion.
“Kerajaan akan terus memastikan penjimatan hasil tambahan yang diperoleh hasil pelaksanaan reformasi fiskal negara dikembalikan kepada rakyat, termasuk dalam usaha meringankan kos sara hidup,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 peringkat dasar bagi Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat pada Selasa.
Amir Hamzah berkata, kerajaan sentiasa memastikan manfaat SARA bukan sahaja memberi bantuan kepada penerima, tetapi juga menyokong peniaga kecil, kedai runcit persendirian dan kedai koperasi.
Beliau memaklumkan sehingga 3 November, inisiatif tersebut telah berjaya melibatkan lebih 8,700 Rakan Runcit Sara, termasuk kira-kira 2,500 kedai runcit kecil di seluruh negara.
“Ini merupakan peningkatan ketara berbanding 700 Rakan Runcit Sara termasuk 180 kedai runcit kecil tahun lalu.
"Antara koperasi yang menjadi Rakan Runcit Sara ialah Coop Mart, Koperasi Penjara Berhad, Koperasi Felcra, dan Koperasi Felda Sungai Koyan 2,” katanya. – BERNAMA








