9 saham dikeluarkan daripada senarai sekuriti patuh syariah - SC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

9 saham dikeluarkan daripada senarai sekuriti patuh syariah - SC

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 30 Mei — Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengeluarkan sembilan saham daripada senarai sekuriti patuh syariahnya yang berkuat kuasa pada 30 Mei 2025.


Antaranya GuocoLand (Malaysia) Berhad, syarikat hartanah dimiliki Tan Sri Quek Leng Chan, dan Sarawak Cable Berhad, yang jatuh kepada status bermasalah nota amalan 17 (PN17).


Saham yang dianggap tidak patuh syariah kebiasaannya akan mencetuskan aliran penjualan oleh pemegangnya, terutama pelabur institusi sebagai mematuhi prinsip pelaburan Islam.

 

 

 

 

 


Selain larangan terhadap aktiviti dianggap haram, seperti perjudian atau arak, syarikat yang mengambil hutang berasaskan faedah secara berlebihan juga kehilangan status itu.


SC berdasarkan kemas kini dua kali setahun itu bagaimanapun telah menambah 41 saham lagi sebagai patuh syariah dengan lebih separuh daripadanya adalah firma tersenarai tahun ini.


Syarikat-syarikat yang termasuk dalan senarai baharu itu ialah Oriental Kopi Holdings Berhad, Eco-Shop Marketing Berhad, HI Mobility Berhad dan IOI Properties Group Berhad.


SC mengemas kini senarainya setiap enam bulan, pada hari Jumaat minggu terakhir bulan Mei dan November berdasarkan semakan penyata kewangan teraudit yang dikeluarkan antara 1 Oktober 2024 dan 31 Mac 2025, seperti yang tersedia menerusi laman web Bursa Malaysia.


Secara keseluruhan, sejumlah 850 daripada keseluruhan 1,056 sekuriti disenaraikan Bursa Malaysia, atau kira-kira 80 peratus ketika ini diklasifikasikan sebagai patuh syariah.


Sektor yang memiliki bahagian peratusan tertinggi bagi saham berkenaan termasuk pembinaan dan tenaga, manakala sektor perkhidmatan kewangan mempunyai bilangan yang paling sedikit.


Sementara itu, BIMB Securities dalam nota kajiannya berkata, salah satu saham di bawah liputannya, Apex Healthcare Berhad, kini diklasifikasikan semula sebagai patuh syariah.


"Secara keseluruhannya, kadar tinggi sekuriti patuh syariah menggariskan komitmen Malaysia untuk membangunkan pasaran modal Islamnya," kata firma penyelidikan itu.


Tambahnya, langkah tersebut juga menyediakan peluang besar untuk para pelabur yang mencari pilihan kepada bentuk pelaburan patuh syariah. - DagangNews.com