KUALA LUMPUR 16 Okt – Seramai 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) yang dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Program tersebut berlangsung di Dewan Citra, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu dan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Kempen ini bertujuan memperkukuh kesedaran mengenai keselamatan siber serta memupuk budaya penggunaan Internet secara beretika dan bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda.
MCMC dalam satu kenyataan berkata, program ini turut menumpukan kepada isu semasa seperti penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi serta penularan maklumat palsu.
“Melalui pendekatan interaktif, pelajar didedahkan kepada kaedah mengenal pasti risiko siber, memahami taktik manipulasi penipuan dan menilai kesahihan maklumat sebelum dikongsi.
“Penekanan juga diberikan mengenai kepentingan mengamalkan sikap berhemah di media sosial serta mengelakkan perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan bagi mengurangkan risiko keselamatan dan penyalahgunaan data,” kata MCMC.


Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi bin Md Isa; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin dan Pengetua Kolej Tingkatan 6 (Prauniversiti) Kota Kinabalu, Suhaibul Kassim.
Kempen Internet Selamat mencerminkan usaha berterusan MCMC dalam memperkasakan masyarakat digital yang celik teknologi, beretika, dan selamat di ruang siber.

Ketika ini, program itu giat diperluas ke institusi pendidikan di seluruh negeri Sabah.
Setakat Oktober 2025, daripada 4,734 institusi pendidikan yang telah menyertai kempen ini di seluruh negara, sebanyak 434 daripadanya adalah dari negeri Sabah.
Kempen ini membuktikan komitmen MCMC dalam mendidik belia supaya menggunakan teknologi secara bertanggungjawab dan selamat, selaras dengan usaha membina masyarakat digital yang beretika dan sejahtera. - DagangNews.com








