KUALA LUMPUR 30 Mac — 5E Resources Holdings Bhd, syarikat pengurusan sisa terjadual yang beroperasi hampir dua dekad, menyasarkan untuk mengumpul sehingga RM79.2 juta menerusi tawaran awam permulaan (IPO) sempena penyenaraian di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Permohonan IPO dibuka hari ini pada harga 26 sen sesaham dan akan ditutup pada 3 April, dengan penyenaraian dijadualkan pada 15 April 2026.
Selain itu, pemegang saham sedia ada turut dibenarkan menjual 154 juta saham mereka yang dijangka menjana sekitar RM40.04 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif 5E Resources, Lim Te Hua berkata penyenaraian itu akan mengukuhkan kedudukan kewangan syarikat, meningkatkan keterlihatan korporat serta memperkukuh amalan tadbir urus.
“Sokongan dana baharu ini membolehkan syarikat memperluaskan kapasiti dan keupayaan pemprosesan sisa, sekaligus meletakkan 5E Resources pada kedudukan lebih baik untuk pertumbuhan jangka panjang,” katanya.
Beroperasi dari Pasir Gudang, Johor, 5E Resources menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa terjadual secara menyeluruh termasuk ujian, pengumpulan, pemulihan dan kitar semula. Syarikat kini memiliki lesen untuk 34 daripada 77 kategori sisa terjadual di Malaysia, dengan kapasiti pemprosesan tahunan melebihi 280,000 tan.
Sebahagian besar dana IPO akan digunakan untuk membiayai pembinaan loji baharu di Perak serta pembelian mesin dan peralatan yang dijangka meningkatkan kapasiti tahunan kepada hampir satu juta tan.
Selain itu, syarikat merancang untuk memperluaskan lesen kepada sekurang-kurangnya 44 kategori sisa serta memperkenalkan teknologi pemulihan dan kitar semula baharu, termasuk penghasilan bahan api pepejal (SRF), pemulihan bateri kenderaan elektrik terpakai dan kitar semula panel solar.
Loji baharu di Johor dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua bulan akan datang dan dijangka menyumbang kepada pendapatan bermula tahun kewangan 2026.
Selepas penyenaraian, 5E Resources diunjurkan mencapai permodalan pasaran sebanyak RM400.4 juta, dengan nisbah harga kepada pendapatan (PE) sekitar 18 kali berdasarkan prestasi FY2024, di mana ia mencatat keuntungan bersih RM21.78 juta daripada hasil RM80.15 juta.
Sebagai perbandingan, pemain industri seperti Tex Cycle Technology (M) Bhd dan Hiap Huat Holdings Bhd kini didagangkan pada PE masing-masing sekitar 13 kali dan 10 kali.
TA Securities Holdings Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO tersebut. - DagangNews.com








