5E Resources meterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

5E Resources meterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities menjelang penyenaraian di Pasaran ACE

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac – 5E Resources Holdings Berhad, penyedia perkhidmatan pengurusan sisa terkawal memeterai perjanjian taja jamin dengan TA Securities Holdings Berhad sebagai persiapan untuk tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Melalui anak syarikatnya, 5E Resources menyediakan perkhidmatan pengurusan sisa terkawal termasuk ujian, pengumpulan, pemulihan dan kitar semula sisa. 

 

Syarikat juga membekalkan produk hasil pemulihan dan kitar semula serta menjalankan perdagangan bahan kimia dan produk lain.

 

Dengan pengalaman lebih 18 tahun, 5E Resources mempunyai reputasi kukuh di kalangan pelanggan. Syarikat memiliki lesen untuk menguruskan 34 daripada 77 kategori sisa terkawal dan mengendalikan beberapa pusat pengurusan sisa berlesen di Johor, dengan rancangan pengembangan di Johor Bahru dan Perak. 

 

Sokongan makmal dalaman dan kemampuan penyelidikan membolehkan syarikat meningkatkan keberkesanan proses, memastikan pematuhan peraturan dan menambah nilai hasil sisa.

 

Tawaran awam permulaan ini merangkumi penawaran saham baru kepada orang awam, pekerja dan pengarah yang layak serta pelabur Bumiputera melalui penempatan persendirian. 

 

Selain itu, sejumlah saham sedia ada akan dijual kepada pelabur terpilih. 

 

TA Securities bertindak sebagai penaja dan penjamin untuk saham yang ditawarkan kepada orang awam dan pekerja.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif 5E Resources, Lim Te Hua berkata perjanjian itu adalah satu langkah penting dalam perjalanan syarikat menuju penyenaraian. 

 

“Langkah ini akan memperkukuh modal syarikat dan menyokong rancangan pengembangan, termasuk pembangunan fasiliti baharu dan peningkatan keupayaan pemulihan dan kitar semula,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities, Ku Mun Fong, menyatakan sokongan terhadap 5E Resources pada peringkat penting IPO ini, dengan menyifatkan asas operasi syarikat adalah kukuh dan rancangan pengembangan jelas.

 

Dengan penyenaraian ini, 5E Resources berhasrat untuk memperkukuh kedudukannya dalam sektor pengurusan sisa terkawal, meningkatkan kapasiti, kecekapan operasi dan pematuhan peraturan, serta menyokong objektif alam sekitar dan agenda ekonomi kitar semula negara. - DagangNews.com