3REN perkukuh kerjasama dengan InvestPenang melalui inisiatif Penang Silicon Design @5km+ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

3REN perkukuh kerjasama dengan InvestPenang melalui inisiatif Penang Silicon Design @5km+

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Julai – Penyedia penyelesaian automasi dan perkhidmatan kejuruteraan, 3REN Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Sophic Automation Sdn Bhd, memeterai perjanjian dengan Invest-In-Penang Berhad (InvestPenang) bagi menerima pakej insentif strategik di bawah inisiatif Penang Silicon Design @5km+ (PSD@5km+).

 

Kerjasama itu bakal memperkukuh keupayaan reka bentuk dan pembangunan litar bersepadu (IC) Kumpulan, selain menukar idea inovatif kepada produk IC sebenar, susulan pemeteraian memorandum persefahaman pada Disember 2024.

 

Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Eksekutif 3REN, Koh Dim Kuan berkata, pakej insentif yang ditawarkan termasuk subsidi kewangan, geran dan bayaran bagi kemudahan serta perkhidmatan oleh pihak berkepentingan di bawah perjanjian tersebut, yang akan berkuat kuasa selama tiga tahun sehingga Mei 2028.

 

“Kumpulan merancang untuk memanfaatkan insentif ini secara strategik bagi menyumbang kepada pembangunan ekosistem semikonduktor dan reka bentuk cip di Malaysia.

 

“Kami berbangga dapat memperkukuh kerjasama bersama InvestPenang menerusi inisiatif tersebut yang membuka peluang kerjasama lebih luas dengan firma IC tempatan, penyedia alat EDA dan institusi akademik.

 

“Inisiatif ini membolehkan kami mengakses teknologi reka bentuk dan pembangunan IC yang lebih maju, selain menjalin hubungan dengan organisasi berwawasan dalam usaha bersama meletakkan Malaysia sebagai hab utama semikonduktor global,” katanya dalam satu kenyataan.

 

3REN berkata kerjasama ini juga selari dengan komitmen Kumpulan dalam memupuk bakat masa depan untuk terus meneroka peluang dalam rantaian nilai semikonduktor, berasaskan kepakaran sedia ada dalam bidang automasi dan kejuruteraan.

 

3REN yang disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 6 November 2024 menawarkan penyelesaian digital serta peralatan automatik, perkhidmatan kejuruteraan produk dan IC termasuk reka bentuk, pembangunan, pemasangan serta ujian.

 

Selain Malaysia, Kumpulan mempunyai operasi di Thailand, Singapura, Amerika Syarikat, China, Vietnam, Filipina, Kanada, Costa Rica, India, Mexico dan Taiwan. - DagangNews.com