32 syarikat termasuk 13 firma asing berminat beroperasi di SFZ Forest City | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

32 syarikat termasuk 13 firma asing berminat beroperasi di SFZ Forest City

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 April — Sebanyak 32 syarikat tempatan dan asing menunjukkan minat membuka operasi perniagaan di Zon Kewangan Khas (SFZ) Forest City di Johor.

 

Daripada jumlah itu, sebanyak 19 syarikat dari Malaysia, Singapura dan Thailand telah menyatakan hasrat mereka untuk menubuhkan pejabat keluarga, manakala dua lagi syarikat sudah mendapat kelulusan operasi daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Johor, Lee Ting Han berkata, ia membuktikan semua perancangan yang dibuat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi memastikan kejayaan Forest City sebagai SFZ selain sebahagian Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) secara amnya kini berada di landasan tepat.

 

 

 

“Semua agensi berkaitan juga bekerja secara agresif untuk menarik lagi kemasukan pelaburan baik dari dalam mahu pun luar negara ke negeri ini khususnya Forest City,” katanya sebagai mengulas mengenai perkembangan terkini situasi pelaburan dalam kawasan khas berkenaan.

 

Tambah Ting Han, firma pelaburan terkenal Malaysia, CMY Capital dan Yow Kee Family Office telah memperoleh kelulusan rasmi daripada SC, sekali gus menjadikan mereka sebagai kumpulan pertama yang bakal membuka syarikat pejabat keluarga serta beroperasi di SFZ Forest City.

 

Pencapaian itu katanya, merupakan satu langkah besar buat Forest City dalam usaha menjadi sebuah hab kewangan serantau dan mewujudkan kesan secara langsung dengan jangkaan banyak pejabat keluarga dan institusi kewangan akan memulakan operasi mereka sepanjang tahun ini.

 

Ia juga dibantu beberapa pengumuman insentif berhubung penubuhan SFZ baharu itu termasuk tiada cukai korporat untuk pejabat keluarga selain kadar cukai korporat antara sifar hingga lima peratus dan kadar cukai pendapatan purata 15 peratus bagi pekerja berkemahiran tinggi.

 

"Kementerian Kewangan juga sedang memuktamadkan pakej insentif itu dan dikuatkuasakan tidak lama lagi namun dalam tempoh tersebut, permohonan diterima akan diproses satu persatu bagi mempercepatkan kelulusan, sekali gus menarik banyak pelaburan ke SFZ," kata beliau.

 

Ting Han turut gembira kerana lawatan rasmi Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia minggu lalu telah membawa peluang pembangunan dan kerjasama ekonomi termasuk pengecualian visa antara kedua-dua negara yang memberikan kesan besar terhadap pelaburan di Forest City.

 

Beliau menjangkakan Johor dan SFZ Forest City menerima lebih perhatian selaras titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim mengenai potensi besar pelabur dari China untuk meneroka peluang di negara ini berdasarkan Inisiatif ‘Belt and Road’ dilancarkan oleh negara itu.

 

Justeru katanya, sebagai sebahagian inisiatif SFZ dan JS-SEZ, kerajaan Johor sedang giat menjalin hubungan dengan pelabur berpotensi bagi memahami keperluan dan keutamaan mereka secara lebih baik serta terbuka menawarkan insentif khusus berdasarkan keperluan tertentu.

 

"Bagi memastikan pelaburan yang lancar, Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia di Johor (IMFC-J) telah ditubuhkan sebagai pejabat sehenti dengan seorang pengurus akaun ditugaskan meneliti fail dan profil sesuatu pelaburan untuk membantu memudahkan urusan," katanya. - DagangNews.com