Kontrak kapal sokongan logistik pelbagai peranan (Multi Role Support Ship - MRSS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terus menjadi perhatian beberapa syarikat perkapalan antarabangsa untuk dimuktamadkan.
Kementerian Pertahanan (Mindef) dikatakan akan menawarkan kontrak tersebut secara tender terbuka pada Oktober ini.
Walaupun tidak dinyatakan tetapi kontrak kapal MRSS TLDM dianggarkan bernilai antara RM4 hingga RM5 bilion.
Menurut laporan laman media pertahanan Defense Security Asia (DSA), tiga syarikat pembuat kapal antarabangsa berada di hadapan persaingan untuk membekalkan kapal MRSS tersebut.

Berdasarkan sumber kepada DSA, tiga syarikat yang mendahului saingan sengit ini ialah Hyundai Heavy Industries (HHI) dari Korea Selatan, Fincantieri (Itali) dan negara jiran, PT PAL Indonesia.
Ketiga-tiga gergasi perkapalan ini telah pun mengemukakan model kapal MRSS masing-masing kepada TLDM mengikut ciri-ciri yang diinginkan.
Spesifikasi yang ditekankan pada kapal MRSS TLDM ialah panjang kira-kira 150 meter dan berat kira-kira 10,000 tan.
Ini bakal menjadikan MRSS sebagai kapal terbesar dalam armada TLDM kelak dengan jumlah yang ingin dimiliki sebanyak 3 buah kapal.
Perolehan strategik kapal-kapal MRSS itu yang tertangguh beberapa kali bagi memperkukuhkan armada TLDM memandangkan wilayah maritim Malaysia yang luas.


Kapal MRSS direka untuk melaksanakan pelbagai tugasan termasuk sokongan logistik, bantuan perubatan, operasi mencari dan menyelamat, operasi amfibia serta sebagai kapal induk.
Menariknya, 2 daripada syarikat yang bersaing pernah membekalkan kapal-kapal perang kepada TLDM manakala bagi PT PAL Indonesia, ini cubaan pertama untuk mendapatkan kontrak Malaysia.
Korea Selatan sebelum ini membina kapal sokongan logistik KD Mahawangsa yang ditauliahkan kepada TLDM pada tahun 1982.
Bermakna teknologi perkapalan Korea Selatan bukanlah asing bagi TLDM.
Fincantieri, syarikat perkapalan utama Itali pula pernah membekalkan 4 buah kapal korvet kelas Laksamana yang diterima antara tahun 1997 hingga 1997.


Korvet kelas Laksamana yang asalnya dibina untuk tentera laut Iraq dibeli TLDM telah menjadikan armada negara ketika itu sebagai antara yang digeruni di Asia Tenggara.
Ini kerana kapal-kapal tersebut dilengkapi dengan sistem persenjataan peperangan tiga dimensi iaitu peluru berpandu antikapal, antipesawat dan torpedo.
Sejak 20 tahun lalu syarikat Fincantieri telah berusaha memikat TLDM semasa Mindef berura-ura untuk membuka tender kapal MRSS ketika itu.
Justeru, tidaklah pelik sekiranya Ficantieri menjadi antara 3 pesaing utama bagi kontrak tersebut sekarang.
Difahamkan Fincantieri menawarkan MRSS TLDM yang dibina berasaskan kapal pendarat (LPD) kelas Kalaat Béni Abbes, yang sebelum ini dibekalkan kepada Algeria.


Sebuah lagi kapal sama, Al Fulk pula dibina untuk Qatar.
Kapal sepanjang 143 meter ini boleh memuatkan 150 kru dan 400 tentera lengkap dengan garaj kenderaan serta tanjakan untuk mendaratkan bot-bot kecil.
Pengalaman luas Fincantieri dalam membina kapal perang untuk angkatan laut Eropah, Timur Tengah dan Afrika Utara meletakkannya sebagai pesaing kuat untuk program MRSS TLDM.
PT PAL Indonesia mempertaruhkan kapal MRSS sedia ada iaitu kelas Makassar seberat 12,000 tan.
Sebelum ini PT PAL Indonesia telah memeterai memorandum persefahaman bagi kerjasama industri dengan Lumut Naval Shipyard (Lunas).

Walaupun tidak dinyatakan secara spesifik tetapi ia dipercayai bagi kerjasama untuk menawarkan kapal MRSS kepada TLDM.
Perolehan MRSS TLDM ini akan mempunyai implikasi strategik jangka panjang, membentuk keupayaan pertahanan maritim negara untuk beberapa dekad akan datang.
MRSS akan berfungsi sebagai asas keupayaan Malaysia untuk menonjolkan kuasa, menyediakan bantuan kemanusiaan, dan melindungi perairan wilayahnya.
Dengan isu keselamatan di Laut China Selatan yang berterusan, pemodenan angkatan laut dilihat sebagai instrumen penting negara berbanding sebelum ini.
Sehubungan itu, pembelian kapal MRSS merupakan langkah kritikal ke arah mempertingkatkan kesediaan operasi TLDM dan memastikan keselamatan maritim negara. - DagangNews.com








