KUALA LUMPUR 27 Okt - Sebanyak 1,711 produk eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) akan menikmati tarif lebih rendah daripada 19 peratus di bawah Agreement on Reciprocal Trade yang dimeterai antara Malaysia dan AS pada Ahad, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata, senarai produk berkenaan merangkumi minyak sawit, getah, koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa.
“Jumlah keseluruhan eksport ini dianggarkan bernilai AS$5.2 bilion (RM21.96 bilion), iaitu sekitar 12 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport Malaysia ke AS,” katanya pada sidang media di sini, Ahad.
Menurut Zafrul, tarif lebih rendah itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua negara menukar dokumen rasmi sebagai sebahagian daripada proses perundangan.
Dalam satu kenyataan bersama pada Ahad, Kuala Lumpur dan Washington memaklumkan bahawa AS telah mengenal pasti produk yang disenaraikan di bawah Annex III kepada Executive Order 14346 bertarikh 5 September 2025, mengenai Potential Tariff Adjustments for Aligned Partners, untuk menerima kadar tarif timbal balik sifar peratus (0%).
Kenyataan itu turut menyebut bahawa AS komited mengekalkan tarif timbal balik pada kadar 19 peratus, sebagaimana digariskan dalam Executive Order 14257 bertarikh 2 April 2025, yang telah dipinda, bagi barangan berasaskan asal Malaysia.
Apabila ditanya sama ada Malaysia kecewa dengan perkara tersebut, Zafrul menjawab:
“Tidak, kami tidak kecewa. Malah kami berpuas hati kerana apa yang ditawarkan sebelum ini kekal untuk Malaysia. Apa yang menggembirakan ialah kami tidak perlu berundur daripada apa yang telah dipersetujui sebelum ini.
“Dan kami juga gembira kerana bagi beberapa kategori tarif, kami berjaya memperoleh lebih daripada apa yang pernah dibincangkan.”
Zafrul menjelaskan perjanjian yang dimeterai pada Ahad mengandungi perkara sama seperti yang telah dikongsikan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) di Parlimen sebelum ini, dan pemeteraian itu menandakan penyempurnaan rundingan terdahulu serta menjadikan perjanjian itu rasmi.
“Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, perjanjian ini sebenarnya telah dipersetujui lebih awal, dan ini merupakan pengesahan rasmi secara bertulis.
“Malah, AS memberikan akses pasaran yang lebih baik berbanding sebelum ini, selain beberapa komitmen tambahan bagi kemasukan produk kita ke pasaran mereka. Jadi apa yang diberikan kali ini adalah lebih baik daripada yang diumumkan atau dipersetujui secara lisan sebelum ini,” katanya.
Ditanya sama ada beliau yakin perjanjian itu merupakan “perjanjian muktamad” tanpa perubahan lanjut, Zafrul berkata:
“Bagi kami, satu perjanjian adalah satu perjanjian, dan kami berharap ia kekal. Namun, sekiranya ada perubahan, kami berharap ia adalah perubahan yang lebih baik.” - BERNAMA








