Jepun terus menyokong pengukuhan keupayaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berhubung keselamatan maritim di Selat Melaka dan Laut China Selatan apabila menyumbang kelengkapan termasuk dron bernilai RM12.63 juta.
Terbaru, Malaysia menerima sebanyak 14 buah dron tanpa pemandu (UAV) Aerosense Aerobo Wing (AS-VT01) buatan Jepun di bawah inisiatif bawah Bantuan Keselamatan Rasmi (OSA) kerajaan negara matahari terbit itu.
Penyerahan ini melibatkan masing-masing 6 UAV untuk Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Tentera Darat Malaysia (TDM) manakala 2 lagi untuk Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan ATM (BSEP).
Selain dron, ATM juga akan menerima 7 bot penyelamat yang diserahkan kepada TUDM.

Majlis penyerahan di Kementerian Pertahanan (Mindef) semalam dihadiri Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin.
Turut hadir ialah duta Jepun ke Malaysia, Shikata Noriyuki serta Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.
Sepertimana diketahui, Selat Melaka penting kerana lebih 80 peratus import minyak Jepun dan kira-kira satu pertiga daripada minyak mentah dunia melalui perairan ini dan Singapura.
Bantuan Jepun kepada Malaysia berikutan perjanjian serupa dengan Bangladesh dan Filipina di bawah rancangan yang diumumkan pada April 2023 untuk Tokyo membantu negara membangun memperkukuh pertahanan mereka.
Bantuan yang diberikan ini melibatkan kelengkapan bukan persenjataan, tetapi digunakan untuk membantu pemantauan keselamatan.



Malaysia merupakan salah satu negara penerima pertama OSA yang ditubuhkan pada 2023 meliputi peralatan pengawasan untuk keselamatan maritim disediakan.
Difahamkan, beberapa unit dron tersebut telah diterima dengan selebihnya dijangka tiba dalam masa depan terdekat.
Pihak Jepun juga telah melatih 12 anggota ATM mengendalikan UAV ini di negara manakala latihan lanjut akan dijalankan di Sabah dan Selangor.
UAV AS-VT01 merupakan dron jenis ringan dengan berat 10.5 kilogram (kg).
Ia mampu terbang pada jarak sejauh 50 kilometer (km) dengan kelajuan maksimum 100 km/jam.


Dron ini boleh beroperasi di tempat yang memerlukan penerbangan jarak jauh dan luas, seperti pemeriksaan di kawasan berbukit-bukau, rondaan di kawasan laut dan pesisir pantai.
Jangkamasa terbang adalah lebih 1 jam secara tanpa kawalan mengikut data-data penerbangan yang telah diprogramkan lebih awal.
Sumbangan UAV ini mampu membantu ATM untuk pemantauan di kawasan pesisir pantai termasuk kawasan sensitif seperti Laut China Selatan.
Langkah ini akan memperkukuh keupayaan risikan, pengawasan dan peninjauan, sekali gus menguatkan keupayaan keselamatan maritim ATM.
Kerjasama antara Malaysia dan Jepun dalam soal keselamatan maritim bukan baharu, malah merupakan salah satu aspek penting dalam hubungan dua hala kedua-dua negara.


Ini terutamanya demi kepentingan geopolitik kawasan Asia Tenggara dan Laut China Selatan.
Malaysia melalui Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) misalnya telah menjalinkan pelbagai bentuk kerjasama dengan Jepun dalam bidang ini.
Sumbangan terbesar yang diterima ialah penyerahan 2 buah kapal peronda pesisir pantai (OPV) bekas milik Pasukan Pengawal Pantai Jepun kepada APMM pada 2017.
Kapal KM Pekan dan KM Arau yang berusia 25 tahun itu sudah melalui pengubahsuaian termasuk penukaran cat, penggantian radar dan peralatan di anjung untuk menepati spesifikasi Malaysia.
Semua kos perbelanjaan baik pulih ini ditanggung kerajaan Jepun dengan anggaran kos bagi kedua-dua OPV berjumlah RM28 juta.
Kapal KM Arau dan KM Pekan sepanjang 90 meter itu berupaya menjalankan operasi dalam cuaca buruk.
Kapal berkenaan dikendalikan 39 kru bagi melaksanakan operasi selain turut dilengkapi pelantar pendaratan helikopter.
Selain itu, dari masa ke semasa pegawai dan anggota APMM turut dihantar ke Jepun untuk latihan profesional bersama Japan Coast Guard (JCG).
Latihan merangkumi navigasi dan pengendalian kapal, teknik menyelamat di laut, pemantauan dan rondaan keselamatan maritim serta pelaksanaan undang-undang maritim antarabangsa
Latihan ini penting untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme pegawai APMM, terutama dalam mengendalikan insiden rentas sempadan dan penyeludupan.
Sehubungan itu, kerjasama maritim yang terjalin antara Malaysia-Jepun menjadi asas penting kepada hubungan strategik yang lebih luas dalam bidang ekonomi, pertahanan dan teknologi. - DagangNews.com








