12 projek MCMC disenarai pendek ke peringkat akhir anugerah WSIS 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

12 projek MCMC disenarai pendek ke peringkat akhir anugerah WSIS 2025

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 April — Sebanyak 12 projek yang diusahakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berjaya disenarai pendek untuk memasuki peringkat akhir anugerah World Summit on the Information Society (WSIS) 2025.
 

MCMC berkata, pertandingan tahunan bertaraf antarabangsa itu dianjurkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) dengan kerjasama daripada pelbagai agensi di bawah Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) sendiri. 


WSIS katanya, berperanan besar sebagai platform global untuk menawarkan pengiktirafan atas pelbagai inisiatif digital yang memberikan kesan besar serta turut menyumbang kepada aspek pembangunan mampan penduduk di negara berkenaan.


"Pengiktirafan ke atas 12 projek tersebut oleh ITU mencerminkan komitmen berterusan negara ini memajukan rangkuman digital dan mempromosikan inovasi scara mampan, selaras dengan aspirasi global di bawah rangka kerja WSIS," katanya dalam satu kenyataan.


MCMC juga memperakui inisiatif yang dicalonkan sebagai berjaya menonjol dalam kalangan ratusan penyertaan yang dipilih pihak penganjur untuk dapat menyertai kelompok peserta pusingan akhir.


Tahun ini kata MCMC, Malaysia berbangga kerana dinamakan Rakan Strategik Platinum di bawah WSIS+20, mengukuhkan peranan menjadi penyumbang utama dialog digital global dan meletakkan Asia Tenggara sebagai hab digital sedang berkembang.


Inisiatif yang telah disenarai pendek oleh ITU serta berkelayakan untuk menerima anugerah tersebut perlu merangkumi beberapa Garis Tindakan WSIS dan sejajar dengan pelbagai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dirangka PBB sendiri.


"Malaysia pernah menang pada 2023 dan 2024, namun senarai pendek 2025 dibina berdasarkan reputasi Malaysia yang meningkat sebagai peneraju serantau dalam aspek pembangunan inklusif teknologi komunikasi maklumat (ICT)," kata MCMC.


Ia berkata, melalui sokongan padu merentasi pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, 12 projek yang dicalonkan itu mewujudkan dorongan secara kolektif ke arah pembinaan masyarakat Malaysia lebih terhubung dengan teknologi digital.


Undian awam untuk WSIS 2025 kata MCMC, sudah dibuka, dan boleh mengundi untuk projek yang difikirkan paling memberi inspirasi kepada mereka dengan mengimbas kod maklum balas pantas (QR) disedikan oleh pihak penganjur. 


MCMC kata kenyataan tersebut, menggalakkan rakyat Malaysia mengambil bahagian dan menyokong usaha tempatan mereka  di persada dunia dengan mengundi projek-projek disenarai pendek untuk pusingan akhir berkenaan. - DagangNews.com