10 negeri mohon semakan tarif air - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

10 negeri mohon semakan tarif air - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 Julai - Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menerima permohonan daripada operator perkhidmatan air di 10 negeri untuk menyemak semula tarif bekalan air masing-masing.

 

SPAN berkata setakat 30 Jun lalu, permohonan yang diterima ialah daripada operator di Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.

 

Menurut suruhanjaya itu, semua permohonan berkenaan masih dalam proses semakan dan belum dimuktamadkan.

 

“SPAN akan memastikan setiap aspek diteliti sebelum keputusan dibuat dengan keutamaan untuk 27.2 juta pengguna dan pada masa sama mahu memastikan kelangsungan perkhidmatan operator,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Penjelasan SPAN itu susulan kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pada Selasa yang mengumumkan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) bercadang untuk menangguhkan pelaksanaan cadangan kenaikan tarif air di negeri itu, yang kini sedang disemak oleh Kabinet.

 

Kon Yeow dilaporkan berkata Pulau Pinang tidak mahu melaksanakannya pada awal tahun depan sebaliknya berhasarat menangguhkannya pada pertengahan tahun.

 

Beliau berkata, keputusan itu diambil kerana implikasi kos sebanyak RM40 juta yang terpaksa ditanggung kerajaan negeri.

 

Pada Mac lalu, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan kerajaan persekutuan sedang meneliti semula struktur tarif air, dengan kemungkinan pelarasan di beberapa negeri.

 

Sebelum ini, tarif air telah dinaikkan pada Februari 2024, melibatkan purata peningkatan sebanyak 22 sen setiap meter padu bagi pengguna domestik di Semenanjung dan Labuan.

 

Kenaikan itu dijangka menyumbang tambahan kutipan hasil sebanyak RM2.4 juta setahun kepada Jabatan Air Labuan dan RM105 juta setahun kepada Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.- DagangNews.com