Terengganu rekod KDNK sebanyak RM37.3 bilion pada 2022, meningkat 5.9% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Terengganu rekod KDNK sebanyak RM37.3 bilion pada 2022, meningkat 5.9%

Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA NERUS 4 Julai - Terengganu berjaya merekodkan  Keluaran Kasar Dalam Negeri (KDNK) luar jangka sebanyak RM37.3 bilion bagi tahun 2022.

 

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah itu adalah peningkatan sebanyak 5.9% berbanding sasaran awal iaitu sekitar 3.5% hingga 4.5% sahaja.

 

Menurutnya, kadar pertumbuhan yang positif itu adalah bukti bahawa ekonomi negeri Terengganu dalam keadaan sihat dan semakin berkembang.

 

"Data-data yang ada ini sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ekonomi Terengganu tidak berkembang sejak Pas mengambil alih pentadbiran negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14.

 

"Pihak tersebut perlu 'keluar dari gua' untuk meneliti laporan terkini dan perkembangan terbaru lonjakan ekonomi yang berjaya dicapai oleh Terengganu.

 

Terengganu
Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

 

"Semua laporan ini boleh dibaca, difahami dan diteliti dengan terperinci untuk mengetahui apakah usaha yang telah dilakukan kerajaan negeri selama ini dalam membangunkan ekonomi dan taraf hidup rakyat," katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika ditanya tohmahan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kononnya ekonomi Terengganu tidak berkembang sejak akhir-akhir ini.

 

Terdahulu, Ahmad Samsuri melawat dan merasmikan Loji Rawatan Air Bukit Berapit di Kuala Nerus hari ini.

 

Melalui laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), sub sektor perdagangan borong & runcit; penginapan dan makanan & minuman serta perkhidmatan kerajaan terus menampakkan pertumbuhan yang memberangsangkan di Terengganu.

 

Ahmad Samsuri berkata, dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, KDNK Terengganu sentiasa menunjukkan trend menaik iaitu 2.5% pada 2018 kepada 3.3% pada 2019.

 

"Seterusnya jumlah itu terus naik kepada 3.6% pada tahun 2021 dan 5.9% pada tahun 2022.

 

"Namun, penguncupan sebanyak 5.7% pada tahun 2020 pula adalah disebabkan impak pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan ekonomi dunia keseluruhannya," katanya.

 

Ahmad Samsuri berkata, Terengganu bagaimanapun terus bangkit dengan pelbagai strategi baharu dan berjaya merekodkan pertumbuhan KDNK sebanyak 3.6% bagi tahun 2021 melebihi pertumbuhan 3.1% peringkat nasional.

 

"Kerajaan negeri akan sentiasa melaksanakan perancangan ekonomi yang lestari demi manfaat semua rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana," katanya. - DagangNews.com