KUALA LUMPUR 31 Julai - CIMB Group Holdings Berhad (CIMB Group) mengumumkan pelantikan Tengku Datuk Seri Azmil Zahruddin Raja Abdul Aziz sebagai Pengerusi dan Pengarah CIMB Thai Bank, berkuat kuasa 19 Julai 2024.
Tengku Azmil Zahruddin menggantikan Datuk Robert Cheim Dau Meng yang bersara. Tengku Azmil Zahruddin dilantik sebagai Pengarah Bukan Bebas Kumpulan CIMB pada 1 Julai 2024.
Beliau pernah memegang pelbagai jawatan utama di Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) termasuk sebagai Timbalan Pengarah Urusan dan Pengarah Eksekutif Pelaburan dari 2011 hingga 2022.
Tengku Azmil Zahruddin juga merupakan Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines dari 2009 hingga 2011.
ARTIKEL BERKAITAN: Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MAS Tengku Azmil dilantik ke lembaga pengarah CIMB
Sebelum itu, beliau memegang pelbagai jawatan kepimpinan di Penerbangan Malaysia Berhad dan PricewaterhouseCoopers di London dan Hong Kong.
Beliau kini merupakan Pengerusi Lembaga Pengarah CelcomDigi Berhad dan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Sime Darby Berhad. Beliau juga merupakan ahli Lembaga Piawaian Perakaunan Malaysia.
Tengku Azmil Zahruddin memiliki ijazah dalam bidang Ekonomi dari University of Cambridge, United Kingdom. Beliau ialah Akauntan Bertauliah dan Ahli Bersekutu Institut Akauntan Malaysia (MIA) dan Institut Akauntan Bertauliah di England dan Wales (ICAEW).- DagangNews.com