Tempahan Proton X50 serendah RM500 bermula esok | DagangNews Skip to main content

Tempahan Proton X50 serendah RM500 bermula esok

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 15 Sept. - Proton Holdings Berhad (Proton) mengumumkan model SUV segmen-B miliknya, X50 boleh ditempah mulai esok bersempena Hari Malaysia dengan serendah RM500 di bilik pameran berdekatan.

Sesi pratonton untuk pelanggan pula akan diadakan secara pintu-tertutup di empat lokasi berlainan mulai 19 September. 

Selain daripada pembukaan tempahan dan sesi pratonton, Proton juga mengadakan pengundian slogan untuk Proton X50, di mana semua rakyat Malaysia digalakkan untuk mengundi slogan yang paling sesuai. 

“Sebagai sebuah syarikat pengeluaran kenderaan tempatan, pertumbuhan jualan Proton akan menambah perbelanjaan dalam ekosistem pembekal automotif dan secara langsung, ia juga akan menambah peluang pekerjaan. 

 

Datuk Seri Syed Faisal Albar
                                            Syed Faisal Albar

 

“Ini amat penting memandangkan ekonomi Malaysia sedang mengalami pergolakan akibat COVID-19,” kata Pengerusi Proton, Datuk Seri Syed Faisal Albar. 

Model SUV berkenaan sudah mula dihasilkan di kilang pengeluaran baharu di Tanjung Malim, Perak yang telah siap dibina pada 2019 dengan kos RM1.2 bilion. 

Selaras dengan penamaan SUV Proton X70, Syed Faisal mengesahkan SUV segmen-B baharu itu diberi nama Proton X50. 

Proton X50 adalah kenderaan kedua yang dilancarkan hasil dari perkongsian teknologi antara Proton dan Geely. 

Dibina atas platform B-segment Modular Architecture (BMA) yang juga digunakan oleh produk Geely dan Volvo, Proton X50 juga menggunakan enjin turbo, kotak gear DCT tujuh-kelajuan dan sistem bantuan pemandu generasi baharu. 

Menerusi pengeluarannya, komuniti pembekal automotif Malaysia dijangka menerima manfaat dengan jumlah pembelian yang dianggarkan sebanyak RM1.8 bilion setahun. 

 

proton

 

Proton X70 pula memerlukan pembelian komponen sebanyak RM1 bilion, bermakna jumlah pembelian tahunan kedua-dua model SUV Proton akan mencecah RM2.8 bilion. 

“Dengan adanya model baharu ini, Proton menjangka ia dapat mendorong kadar peningkatan jualan. 

“Pandemik COVID-19 telah memberi kesan negatif kepada industri automotif, namun demikian, pada akhir bulan Ogos 2020, Proton merupakan satu-satunya jenama automotif yang berjaya mengatasi jualan keseluruhan berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas,” kata Proton dalam kenyataan sama. - DagangNews.com