Tawaran Awam Permulaan Sin-Kung Logistics terlebih langganan 26.5 kali | DagangNews Skip to main content

Tawaran Awam Permulaan Sin-Kung Logistics terlebih langganan 26.5 kali

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 6 Mei - Tawaran awam permulaan (IPO) pembekal perkhidmatan logistik bersepadu Sin-Kung Logistics Bhd untuk bahagian awam telah terlebih langgan sebanyak 26.5 kali.

 

Sebanyak 13,179 permohonan mendapatkan 1.7 bilion saham baharu diterima daripada orang ramai Malaysia untuk 60 juta saham baharu yang disediakan untuk langganan awam.

 

Dalam satu kenyataan, syarikat itu berkata bahagian saham awam Bumiputera terlebih langgan sebanyak 21.7 kali, selepas sejumlah 7,360 permohonan untuk 680.7 juta saham baharu diterima.

 

Bagi bahagian awam bukan Bumiputera, sebanyak 5,819 permohonan untuk 971.8 juta saham baharu telah diterima, yang mewakili kadar lebihan langganan sebanyak 31.4 kali.

 

Sementara itu, 45 juta saham baharu untuk pengarahnya yang layak, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan Kumpulan Sin-Kung Logistics juga telah dilanggan sepenuhnya.

 

Di samping itu, ejen penempatannya telah mengesahkan bahawa 198.5 juta saham yang disediakan untuk permohonan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan pelabur terpilih telah dikeluarkan sepenuhnya.

 

 

Sin-Kung Logistics Bhd

 

 

Sin-Kung Logistics, yang dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd pada 15 Mei 2024, menyasarkan untuk mengumpul RM26 juta daripada IPO.

 

Di bawah penyenaraian itu, syarikat itu menerbitkan 200 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 103.5 juta saham sedia ada, masing-masing mewakili 16.7% dan 8.6% daripada modal saham yang diperbesarkan Sin-Kung Logistics, pada harga terbitan RM0.13 sesaham.

 

Berdasarkan modal saham yang diperbesarkan sebanyak 1.2 bilion saham, Sin-Kung Logistics dijangka mempunyai permodalan pasaran RM156 juta selepas penyenaraian.

 

Semua notis peruntukan untuk saham ini akan dihantar melalui pos kepada pemohon yang berjaya pada atau sebelum 13 Mei 2024.

 

M&A Securities Sdn Bhd merupakan penasihat, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com