Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Dis - Supermax Corp Bhd mengumumkan bahawa tarikh kelayakan bagi dividen interim satu peringkat sebanyak lima sen sesaham yang akan dibayar pada 3 Januari 2022 telah ditukar kepada Selasa depan (7 Disember 2021) mulai Isnin depan.
“Ini kerana 3 Disember 2021 telah diisytiharkan sebagai hari kelepasan am dan hari bukan dagangan Bursa Malaysia,” kata pembuat sarung tangan itu dalam kenyataan menerusi makluman kepada Bursa di sini hari ini.
Oleh itu, tarikh 'ex-dat'e dividen Supermax juga telah dipindahkan ke 6 Disember mulai 3 Disember.
Terdahulu Bursa dan anak-anak syarikatnya dalam kenyataannya hari ini memaklumkan penutupan operasi esok sempena cuti umum Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
"Bursa Malaysia dan anak syarikatnya akan kembali beroperasi pada Isnin, 6 Disember ini," katanya.
Bulan lalu, Supermax berkata margin keuntungan yang merosot akibat penurunan berterusan dalam purata harga jualan menghakis keuntungan bersih kumpulan untuk suku pertama berakhir 30 September 2021 (1QFY22).
Kumpulan itu merekodkan untung bersih RM638.52 juta berbanding dengan RM958.71 juta dicatatkan bagi suku sebelumnya (4QFY21).
Ia juga merupakan suku ketiga berturut-turut syarikat itu merekodkan keuntungan bersih yang lebih rendah pada asas suku tahunan.
Sementara itu, hasil suku tahunan menguncup 22.4% kepada RM1.45 bilion daripada RM1.88 bilion untuk 4QFY21.
Pada asas tahunan, keuntungan bersih suku tahunan juga lebih rendah, jatuh 19% berbanding RM789.52 juta setahun lalu, bagaimanapun, hasil adalah 7.62% lebih tinggi, berbanding RM1.35 bilion bagi suku yang sama sebelumnya. -DagangNews.com








