KUALA LUMPUR 4 Julai - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menurunkan taraf saranan Cypark Resources Berhad kepada ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) 77 sen sesaham selepas keputusan suku keenam tahun kewangan 2023 (6QFY23) baru-baru ini.
Firma penyelidikan itu menjelaskan bahawa keuntungan bersih Cypark bagi tahun kewangan 2023 (FY23) (18 bulan hingga April 2023) sebanyak RM92.5 juta sejajar dengan unjurannya dengan merangkumi sebanyak 104%.
“Melangkah ke hadapan, kami menjangkakan pendapatan akan disokong oleh jualan elektrik daripada aset solar sisa kepada tenaga (WTE) sebanyak 232MWac dan 19.73MWac.
“Kami mengurangkan unjuran pendapatan bagi FY24 dan FY25 masing-masing sebanyak 55% dan 65%, serta memperkenalkan FY26,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Firma itu berkata ia kini menilai Cypark pada 77 sen berdasarkan penilaian jumlah bahagian (SOP) merangkumi aset solar pada aliran tunai diskaun dan pengisian semula buku pesanan EPCC sebanyak RM50 juta.
Menurut firma itu, unjuran pendapatan disemak turun selepas melaraskan tahun kewangan kepada April dari Oktober, kelewatan dalam pentauliahan LSS3 100MW di Merchang, Terengganu dan kos kewangan yang lebih tinggi.
Maybank IB menambah bahawa andaian penambahan buku pesanan kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk solar turut dikecualikan memandangkan firma itu menjangkakan pengurusan akan memberi tumpuan kepada projek yang sedang dijalankan, iaitu 2x30MWac LSS2 di Danau Tok Uban, Kelantan dan 100MWac LSS3 di Merchang, Terengganu yang dijangka beroperasi menjelang Disember 2023.
“Kami menambah RM108.8 juta dalam pengiktirafan pendapatan pada FY24 di bawah segmen pembinaan dan kejuruteraan berikutan kontrak baharu untuk hospital swasta 10 tingkat yang diperoleh daripada Selgate Corp Sdn Bhd pada April 2023 bakal disiapkan pada Januari 2024,” katanya.
Di samping itu, firma itu berpendapat bahawa pendapatan FY24 akan disokong oleh aset solar 72MWac (31Mwac SEDA, 11MWac LSS1 dan 30MWac LSS2), 19.73MWac WTE dan kontrak pembinaan hospital bernilai RM109 juta.
Pengurusan kumpulan itu juga menjangkakan peluang selanjutnya daripada program Pembelian Tenaga Hijau Korporat 800MW dan penarikan larangan eksport tenaga boleh diperbaharui.
Pada 6QFY23, Cypark telah mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM322.8 juta, diheret oleh kemerosotan nilai berjumlah RM376 juta dan peruntukan ganti rugi pasti (LAD) RM91 juta.
Pada waktu penulisan, saham Cypark menokok 2 sen atau 2.8% kepada 74.5 sen, memberikannya nilai pasaran berjumlah RM582.7 juta. - DagangNews.com








