Taiping Bird Week 2023 berjaya promosi Taiping sebagai lokasi Avi Tourism pada pencinta unggas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Taiping Bird Week 2023 berjaya promosi Taiping sebagai lokasi Avi Tourism pada pencinta unggas

Raja Iskandar Dzulkarnain tertarik melihat salah satu foto yang dipamerkan pada majlis penutup Taiping Bird Week 2023.
Oleh Zaki Salleh

TAIPING 29 Ogos - Majlis Perbandaran Taiping (MPT) dengan kerjasama Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) telah menganjurkan Taiping Bird Week (TBW) yang berlangsung selama seminggu.

 

Program yang dianjurkan sejak tahun 2017 bagi mengkaji, merekod dan mewujudkan pengkalan data burung-burung yang terdapat di Taiping.

 

Ia untuk tujuan promosi dalam bidang Eco Tourism serta Avi Tourism. 

 

Acara seumpama ini telah berjaya membuka mata orang ramai, khususnya kepada peminat-peminat burung untuk mendekati kelebihan ini menerusi aktiviti ‘bird watching’ dan ‘bird photography’.

 

TBW diteruskan dengan penganjuran edisi kedua pada tahun 2021 dan edisi ketiga pada tahun 2022. 

 

Pemenang
Raja Iskandar Dzurkarnain menyampaikan hadiah kepada johan pertandingan fotografi Taiping Bird Week 2023 iaitu Ahmad Amir Isqandar Mohd Zawawi dari Selangor. 

 

Memasuki edisi keempat, TBW 2023 menyediakan aktiviti seperti pameran foto spesies burung di Taiping, pameran dan jualan pelbagai agensi, ‘Bird Talk’ dan pertandingan fotografi.

 

Turut dianjurkan ialah Pertandingan Taiping Bird Race bagi kategori terbuka dan kategori pelajar sekolah.

 

Pada tahun ini, TBW 2023 menerima penyertaan seramai 146 peserta dari Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan, Kuala Lumpur, Perlis dan tujuh peserta dari Singapura. 

 

Berdasarkan bilangan cerapan pertandingan Taiping Bird Race kategori terbuka, sebanyak 86 spesies burung telah direkod. 

 

Gambar seekor burung enggang badak. Kelihatan di paruhnya dua ekor kelawar. Ibu kelawar bersama anaknya.
Gambar seekor burung enggang badak. Kelihatan pada paruhnya dua ekor kelawar manakala ibu kelawar bersama anaknya.

 

Manakala bilangan cerapan bagi kategori sekolah pula sebanyak 32 spesies burung direkodkan. 

 

Ini menunjukkan bahawa Taiping merupakan daerah yang kaya dengan kepelbagaian spesies burung. 

 

Terdahulu majlis perasmian penutup TBW 2023 telah disempurnakan oleh Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

 

Turut hadir Orang Besar Jajahan Larut, Matang & Selama, Dato' Haji Wan Mohd Isa Dato' Haji Wan Razali dan Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau negeri Perak, Teh Kok Lim. - DagangNews.com

 

Burung