Tahap kemajuan projek RTS JB-Singapura kini capai 32.42% | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tahap kemajuan projek RTS JB-Singapura kini capai 32.42%

Mohamad Fazli Mohamad Salleh (dua dari kiri) dan Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Lee Ting Han (tiga dari kiri) semasa lawatan tapak RTS Link Johor Bahru-Singapura di Marine Viaduct di Johor Bahru.

JOHOR BAHRU 5 April - Projek Sistem Transit Rapid (RTS) Link Johor Bahru-Singapura secara keseluruhan kini mencapai tahap kemajuan sebanyak 32.42%, merangkumi pelbagai komponen seperti depoh, stesen, jajaran darat dan jajaran marin.

 

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, kerajaan negeri komited untuk memastikan projek pengangkutan awam berimpak tinggi itu dapat mula beroperasi pada 2026. 

 

Menurutnya, bagi melancarkan proses kemajuan projek itu, kerajaan negeri telah menubuhkan satu pasukan petugas pada 21 Okt 2020 untuk membantu memudah cara apa sahaja perkara berkaitan negeri sebagai contoh isu tanah dan sebagainya dengan urus setianya adalah PLANMalaysia Johor.

 

"Kita menjangkakan infrastruktur projek ini siap pada Disember 2024, dan beroperasi mulai Disember 2026, setakat ini ia mengikut jadual dan segala perkembangan berhubung projek dipantau rapat oleh Kementerian Pengangkutan," katanya pada sidang media selepas melawat tapak RTS Link Johor Bahru-Singapura di Marine Viaduct di sini, lapor Bernama.

 

RTS Link merupakan perkhidmatan ulang-alik sepanjang empat kilometer antara Singapura di stesen Woodlands North dan Malaysia di stesen Bukit Chagar di sini.

 

Mohamad Fazli berkata, dengan adanya perkhidmatan itu ia bakal menyelesaikan sebahagian daripada cabaran pergerakan rakyat Malaysia dan Singapura dengan jangkaan kapasiti sehingga 10,000 penumpang sejam setiap hala.

 

Sementara itu, berhubung cadangan mewujudkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya ini, beliau berkata kerajaan negeri sentiasa terbuka menerima sebarang cadangan.

 

Bagaimanapun, tambahnya, perkara itu memerlukan kajian lebih komprehensif memandangkan Johor sudah mempunyai mod pengangkutan awam lain.

 

Pada 28 Mac lepas, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dilapor berkata terdapat cadangan daripada sebuah syarikat swasta untuk membina LRT di bandar raya ini, namun perkara itu masih dalam peringkat cadangan. - DagangNews.com