KUALA LUMPUR 11 Nov - Lembaga Tabung Haji (TH) menyumbang sebanyak RM800,280 bagi penubuhan dan pelaksanaan aktiviti-aktiviti di bawah Projek Caring Centre di 16 buah hospital kerajaan di seluruh negara.
Selain itu, TH turut menaja caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) untuk peserta Caring Centre yang memilih untuk bekerja sendiri.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TH, Datuk Seri Amrin Awaluddin berkata, beliau percaya kerjasama ini akan membantu para pencarum yang menghadapi masalah kesihatan mendapat sokongan yang sepatutnya untuk bangkit semula meneruskan kehidupan mereka dan kembali menjana pendapatan diri serta keluarga.
"Secara keseluruhannya, sumbangan TH bagi kerjasama dalam program ini di peringkat nasional adalah sebanyak RM800,280. Pecahan sumbangan TH termasuk, sumbangan berjumlah RM23,280 untuk SKSPS bagi 100 orang terpilih.
"Kedua, sumbangan berjumlah RM357,000 untuk kenderaan perniagaan kepada 15 orang pekerja, manakala 50 pekerja mendapat peralatan perniagaan.
"Ketiga, peruntukan sebanyak RM420,000 untuk Projek Caring Centre di 16 buah hospital kerajaan seluruh negara bagi menjalankan aktiviti seperti bakeri, cuci kereta, kraftangan, makanan, minuman dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz pula berkata, pembangunan Projek Caring Centre adalah tepat pada waktunya, apabila isu kesihatan mental semakin ketara dalam masyarakat akibat kesan pandemik COVID-19.

“Projek ini, yang dikendalikan bersama antara Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental di hospital-hospital kerajaan dan program RTW Perkeso, menumpukan usaha kepada aktiviti intervensi yang lebih relevan dengan menggunakan kepakaran daripada 'interdisciplinary team' agar pekerja yang menghidapi masalah kesihatan mental, dapat merasai peluang untuk bekerja semula dan kembali kepada masyarakat," katanya.
Terdahulu, Perkeso, TH dan hospital-hospital kerajaan menjalin kerjasama melancarkan Projek Caring Centre di bawah Program Cakna Prihatin Perkeso-TH.
Projek tersebut bertindak sebagai inisiatif perlindungan sosial kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) mental melalui sokongan kembali bekerja atau 'Return to Work (RTW)' Perkeso, dengan kerjasama Pusat Kesihatan Mental Masyarakat (MENTARI), Kementerian Kesihatan (KKM).
Di Hospital Kuala Lumpur, Projek Caring Centre berlandaskan konsep 'Green House' (tanaman agrikultur), produk kraftangan, dan kiosk jualan yang diusahakan oleh pesakit psikiatri sebagai platform persediaan integrasi semula ke dalam masyarakat dan alam pekerjaan, termasuk bekerja sendiri.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2007 sehingga kini, Program RTW Perkeso telah membantu seramai 49,363 orang pekerja yang mengalami hilang upaya akibat kecederaan dan penyakit termasuk hilang upaya mental, untuk bekerja semula setelah mengikuti program rehabilitasi vokasional. - DagangNews.com








