TA Securities unjur jualan kenderaan susut kepada 650,000 unit pada 2024 kesan persaingan lebih sengit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities unjur jualan kenderaan susut kepada 650,000 unit pada 2024 kesan persaingan lebih sengit

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 19 Okt - TA Securities menjangkakan jualan kereta menyusut kepada 650,000 unit pada 2024, berbanding unjuran 725,000 oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) kesan daripada saingan lebih sengit.

 

Katanya, walaupun terdapat permintaan positif untuk kereta Proton Holdings Berhad dan Perusahaan Kedua Otomobil Sdn. Bhd. (Perodua), serta jenama bukan nasional, yang ditunjukkan dalam laporan MAA mengenai jumlah jualan

 

keseluruhan industri kenderaan (TIV) pada September, yang mencecah 68,156 unit — turun 72,809 unit daripada bulan sebelumnya, tetapi 11% lebih tinggi tahun ke tahun.

 

"Kami menjangkakan saingan sengit dan harga yang kompetitif dan pembuat kereta mungkin perlu menawarkan diskaun bagi menarik pelanggan yang mementingkan bajet," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu juga mengulangi pandangan neutral mereka terhadap industri automotif dan menjangkakan anggaran jualan kereta yang lebih lemah pada 2024 iaitu sebanyak 650,000 unit.

 

Mereka mengekalkan saranan "beli" terhadap Sime Darby Berhad dengan harga sasaran (TP) RM2.50, dan pada MBM Resources Berhad dengan TP RM4.11.

 

Bagaimanapun, disebabkan lonjakan harga sahamnya baru-baru ini, syarikat penyelidikan itu telah menurunkan saranan Bermaz Auto Berhad kepada "jual", dengan TP RM2.48.

 

Terdahulu, MAA telah mengumumkan bahawa TIV bulanan menurun sebanyak 6.4% bulan ke bulan kepada 68,156 unit pada September, dengan penurunan itu disebabkan pengguna menunggu pembentangan Belanjawan 2024 bagi lebih banyak insentif.

 

Katanya, terdapat peningkatan 4.6% tahun ke tahun dalam jualan, dengan TIV dalam sembilan bulan pertama 2023 pada 571,767 unit.

 

Kedua-dua jenama kereta nasional, Perodua dan Proton, menyaksikan penurunan dalam TIV mereka, dengan jumlah jualan Perodua jatuh sebanyak 6.8% dari bulan ke bulan kepada sekitar 29,000 unit, manakala jumlah jualan Proton menurun sebanyak 12.3% dari bulan ke bulan kepada sekitar 12,000 unit.

 

Bagaimanapun, setakat ini, kedua-dua jenama telah menyaksikan peningkatan dalam jualan, dengan Perodua mencatatkan pertumbuhan 18.8% membawa kepada jualan sebanyak 233,200 unit dan Proton mencatatkan peningkatan 17.1% kepada 114,800 unit. 

 

Sementara itu, semua jenama kereta bukan nasional utama di Malaysia menyaksikan penurunan dalam TIV apabila Mazda mengalami penurunan terbesar sebanyak 26.2% dari bulan ke bulan kepada sekitar 1,400 unit, diikuti oleh Volkswagen pada 24.8%, Honda pada 16.3%, Toyota pada 9.6% dan Nissan pada 1.1%. - DagangNews.com