TA Securities positif kontrak kerja baik pulih Lapangan Terbang Subang beri sumbangan ketara kepada TRC Synergy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities positif kontrak kerja baik pulih Lapangan Terbang Subang beri sumbangan ketara kepada TRC Synergy

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Feb - Penganalisis positif terhadap kontrak diraih TRC Synergy Bhd untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih dan infrastruktur di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang kerana ia akan menyumbang dengan ketara kepada buku pesanan kumpulan secara keseluruhan.

 

Kontrak bernilai RM358 juta itu telah diraih TRC Trans Resources Corp Sdn Bhd (TRCSB) daripada Impeccable Vintage Properties Sdn Bhd, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd.

 

Skop kontrak itu melibatkan cadangan membaik pulih bangunan utama dan kerja-kerja infrastruktur di Kompleks Kejuruteraan Subang A, yang terletak di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah yang turut dipanggil sebagai Lapangan Terbang Subang.

 

TA Securities berkata, ini merupakan kontrak pembinaan pertama TRC yang diperoleh bagi tahun 2024.

 

“Berdasarkan anggaran kami, buku pesanan terkumpul semasa kumpulan berjumlah kira-kira RM750 juta, diterjemahkan kepada kira-kira 1.1 kali pendapatan tahun kewangan 2022 (FY2022).

 

"Dengan mengandaikan margin keuntungan sebelum cukai sebanyak 8%, projek itu dianggarkan menjana keuntungan bersih RM21.8 juta sepanjang tempoh pembinaan," kata TA Securities dalam satu laporan.

 

trc

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak tersebut meletakkan kumpulan dalam kedudukan baik untuk mendapatkan projek yang lebih besar pada masa depan, memanfaatkan rekod prestasinya yang diperkukuh.

 

Walaupun kontrak itu telah termasuk dalam unjuran penambahan buku pesanan FY2024 sebanyak RM700 juta, TA Securities bagaimanapun telah melaraskan andaian pengiktirafan hasil bahagian pembinaan untuk FY2023, FY2024 dan FY2025.

 

“Pelarasan ini berpunca daripada kadar penambahan pekerjaan yang lebih rendah daripada jangkaan sebanyak RM33.6 juta pada FY2023, berbanding andaian awal kami sebanyak RM500 juta.

 

“Oleh itu, ini telah mengakibatkan pengurangan dalam ramalan pendapatan masing-masing sebanyak 9.4%, 9.6% dan 3.2% untuk FY2023, FY2024 dan FY2025,” tambahnya.

 

Dengan potensi peningkatan dalam sektor pembinaan domestik, TA Securities telah menetapkan nisbah harga-pendapatan yang lebih tinggi sebanyak 12 kali ganda kepada pendapatan 2024 TRC dan menaikkan harga sasarannya kepada 51 sen daripada 42 sen sesaham sebelumnya.- DagangNews.com