T7 Global raih kontrak penyediaan perkhidmatan dan sokongan daripada Petronas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global raih kontrak penyediaan perkhidmatan dan sokongan daripada Petronas

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Mac - Pembekal penyelesaian tenaga bersepadu T7 Global Berhad menerusi anak syarikatnya, T7 Intelligent Resources Sdn. Bhd. (T7IR) berjaya meraih kontrak tiga tahun daripada Petronas Group of Companies untuk Penyediaan Perkhidmatan Profesional dan Sokongan Pihak Ketiga.

 

T7 Global dalam satu kenyataan kepada Bursa Malaysia berkata, secara dasarnya T7IR terlibat dengan pengambilan dan penyelesaian pekerja untuk industri Tenaga, Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT), Perbankan, Teknologi Kewangan dan Pembinaan.

 

Visi syarikat itu adalah untuk terus mempromosikan pengambilan dan pembangunan bakat tempatan dalam industri ICT dan Ruang Digital selain industri Minyak dan Gas serta Tenaga Baharu.

 

T7IR sebelum ini hanya dimiliki 51% oleh T7 Global sehingga Februari 2021 sebelum diambil alih sepenuhnya selepas itu.

 

Pengerusi T7 Global, Datuk Seri Nik Norzul Thani N. Hassan Thani berkata, pihaknya berbangga kerana terus menerima sokongan daripada Petronas dan akan berusaha untuk menyediakan kemudahan yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

 

"Kami akan terus meningkatkan keupayaan sebagai penyedia penyelesaian tenaga bersepadu untuk memenuhi keperluan pelanggan untuk jangka panjang," katanya.

 

t7s
Datuk Seri Nik Norzul Thani N. Hassan Thani

 

Pada 23 Mac lalu, T7IR dilancarkan secara rasmi oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hasim semasa Persidangan Teknologi Pesisir Pantai Asia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

 

Kontrak berkenaan diangka memberi sumbangan positif terhadap pendapatan dan aset bersih T7 Global untuk tiga tahun akan datang. - DagangNews.com