T7 Global memulakan pengeluaran gas di MOPU Tseven Elise | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

T7 Global memulakan pengeluaran gas di MOPU Tseven Elise

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Julai - Anak syarikat T7 Global Berhad, Tanjung Offshore Services Sdn Bhd (TOS) telah permulaan pengeluaran gas oleh Unit Pengeluaran Luar Pesisir Mudah Alih (MOPU) Tseven Elise di lapangan Bayan.

 

T7 Global dalam satu kenyataan media hari ini berkata, sumbangan hasil oleh MOPU Tseven Elise akan memberikan asas pendapatan tetap dan berulang untuk T7 Global Group dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

MOPU tersebut terletak secara strategik di sub-blok 4Q-21 Wilayah Balingian, kira-kira 80km Utara-Barat Bintulu Malaysia LNG (MLNG) dan beroperasi pada kedalaman air sekitar 30 meter dan direka khusus untuk Projek Pembangunan Semula Bayan Gas Fasa 2.

 

Kemudahan canggih ini menawarkan sistem pemampatan gas dengan kapasiti untuk memproses dan mengeksport sehingga 100 juta kaki padu standard sehari (SCFD) ke kemudahan MLNG di Bintulu, Sarawak.

 

Ketua Pegawai Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin menzahirkan penghargaan kepada Petronas Carigali Sdn Bhd di atas kepercayaan yang diberikan dengan projek tersebut.

 

“Kami berbangga mencapai kejayaan yang mengagumkan sebanyak 2.2 juta jam kerja dengan sifar kecederaan masa hilang (LTI).

 

“Pasukan projek dan kontraktor kami yang berdedikasi layak mendapat pengiktirafan di atas komitmen tidak berbelah bahagi mereka dalam menyiapkan projek MOPU dengan selamat dan cekap,” ujar beliau.

 

Memandang ke hadapan, beliau berkata T7 Global kekal teguh dalam komitmennya untuk mengoptimumkan operasi MOPU, memastikan tempoh operasi pengeluaran tanpa gangguan sambil mengutamakan perlindungan alam sekitar.

 

Tambahnya, permulaan fasa pengeluaran di lapangan Bayan akan memastikan kestabilan bekalan kepada pasaran gas.

 

Pada waktu penulisan, saham T7 Global menokok 1 sen atau 2.1% kepada 48 sen dengan modal pasaran bernilai RM363.4 juta. - DagangNews.com