KUALA LUMPUR 24 Mei - T7 Global Berhad telah merekodkan lonjakan keuntungan bersih sebanyak 56% kepada RM4.2 juta pada suku pertama tahun kewangan 2023 (1QFY23) berbanding RM2.7 juta dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Sementara itu, pendapatan kumpulan bagi 1QFY23 turut meningkat 52% kepada RM94 juta daripada RM62 juta pada suku pertama tahun kewangan 2022 (1QFY22).
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu melaporkan pendapatan pakej kejuruteraan yang meningkat 67% kepada RM44.25 juta pada suku semasa berbanding RM26.5 juta yang dicatatkan pada 1QFY22.
Di samping itu, bahagian produk dan perkhidmatan mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 40% kepada RM49.79 juta pada suku semasa daripada RM35.5 juta dalam 1QFY22.
“Lembaga pengarah dan pengurusan sentiasa optimistik dalam keupayaannya untuk mencapai keputusan memuaskan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) disebabkan buku pesanan yang berdaya tahan dan prestasi berterusan dalam pelaksanaan dan operasi projek,” ulas T7 Global berkenaan prospek kumpulan di dalam makluman tersebut.
Pada masa ini, kumpulan itu mempunyai buku pesanan berjumlah RM2.5 bilion.
Ketua Pegawai Eksekutif T7 Global, Tan Kay Zhuin berkata walaupun harga minyak sederhana pada 1QFY23, keputusan tersebut adalah baik memandangkan kumpulan itu terus meningkatkan kecemerlangan komersial dan operasi.

“Ini sebahagian besarnya didorong oleh sokongan daripada pihak berkepentingan T7 Global dan saya menghargai keyakinan dan kepercayaan mereka terhadap kumpulan.
“Kami kekal fokus dalam menyampaikan pertumbuhan yang mampan dan memastikan pengurusan berhemat bagi aset serta komitmen kewangan kumpulan,” tambahnya. -DagangNews.com








