Synergy House meterai perjanjian taja jamin bersama Kenanga IB bagi terbitan IPO di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Synergy House meterai perjanjian taja jamin bersama Kenanga IB bagi terbitan IPO di Pasaran ACE

(Dari kiri) Teh Yee Luen, Tan Eu Tah, Pengarah Eksekutif, Ketua Perbankan Pelaburan Kumpulan dan Perbankan Islam Kenanga IB, Datuk Roslan Tik dan Pemangku Ketua Kewangan Korporat Kenanga IB, Alvin Ooi.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 17 April - Synergy House Berhad telah memeterai  perjanjian taja jamin dengan Kenanga Investment Bank Berhad (Kenanga IB) untuk tawaran awam permulaan (IPO) kumpulan yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Tawaran IPO itu akan melibatkan sejumlah 130 juta saham yang terdiri daripada terbitan awam sebanyak 80 juta saham baharu, mewakili 16% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan. 

 

Daripada jumlah terbitan awam tersebut, sejumlah 5% atau 25 juta saham akan diperuntukkan melalui pengundian orang awam Malaysia, diikuti 2.5% atau 12.5 juta untuk pengarah, pekerja dan orang berkelayakan yang telah menyumbang kepada kumpulan.

 

Sementara itu, 6% atau 30 juta diperuntukkan kepada pelabur terpilih melalui penempatan persendirian dan 2.5% atau 12.5 juta saham untuk pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

 

Pelaksanaan IPO itu juga termasuk tawaran untuk penjualan 50 juta saham sedia ada yang mewakili 10% daripada modal saham terbitan diperbesarkan yang akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI.

 

Di bawah perjanjian taja jamin, Kenanga IB akan menaja jamin 25 juta saham baharu disediakan kepada orang awam Malaysia dan 12.5 juta saham sedia ada yang disediakan untuk orang yang layak.

 

Pengarah Eksekutif Synergy House, Tan Eu Tah berkata, IPO tersebut akan memberikan modal untuk mengembangkan perniagaan yang mengguna pakai model perniagaannya sejak 2004.

 

“Sejak 2004, kami telah memberi tumpuan semata-mata pada reka bentuk, pembangunan dan penjualan perabot rumah RTA dan penyumberan luar semua kerja pembuatan kepada pengilang pihak ketiga,” tambahnya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

Tan Eu Tah
Tan Eu Tah

 

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Synergy House, Teh Yee Luen menambah, jualan daripada segmen B2C telah meningkat daripada RM1.99 juta dalam tahun kewangan berakhir 31 Disember 2019 (FY19) kepada RM24.78 juta pada tahun kewangan 2021 (FY21) dengan kadar pertumbuhan tahunan kompaun sebanyak 252.88%.

 

“Selaras dengan strategi mengembangkan segmen B2C kami, sebahagian daripada hasil IPO itu akan digunakan untuk membeli inventori bagi segmen B2C serta bagi pelaksanaan strategi pengiklanan dan promosi e-dagang,” jelasnya.

 

 

Teh Yee Luen
Teh Yee Luen

 

 

Memandangkan Synergy House memberi tumpuan kepada reka bentuk, pembangunan dan penjualan perabot rumah RTA, ia menyumber luar semua kerja pembuatan kepada pengeluar pihak ketiga dan menjual produknya melalui model jualan B2B dan B2C.

 

Produk kumpulan itu dijual di dalam negara dan dieksport ke luar negara, di mana pasaran utamanya adalah United Kingdom, Emiriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat. -DagangNews.com