Syarikat telco masih berhati-hati terhadap model SWN 5G | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat telco masih berhati-hati terhadap model SWN 5G

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 5 April - Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dilihat masih berhati-hati terhadap pelaksanakan model rangkaian borong tunggal (SWN) 5G meskipun kerajaan menawarkan 70% ekuiti dalam Digital Nasional Bhd. (DNB), demikian menurut Kenanga Research. 

 

Penganalisisnya, Ahmad Ramzani Ramli berkata, antara kebimbangan utama ialah dari segi perjanjian harga dan tahap perkhidmatan yang ketika ini masih di peringkat rundingan antara syarikat telekomunikasi dan DNB, selain menanti kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

 

Jelasnya, tanpa jaminan kualiti perkhidmatan dalam perjanjian tersebut, MNO bimbang sambungan 5G yang lemah di peringkat awal (daripada rangkaian borong tunggal-SWN) menyebabkannya tidak dapat memenuhi kualiti perkhidmatan seperti dijanjikan.

 

"Liputan yang lemah pada fasa awal rangkaian ini akan memberi risiko kepada reputasi MNO terutama dari segi kualiti perkhidmatan, kerana mereka perlu berhemat dalam mengenakan caj kepada pelanggan untuk perkhidmatan pada rangkaian yang mereka mempunyai sedikit kawalan.

 

"Oleh itu, kami berpandangan MNO belum tertekan untuk melancarkan perkhidmatan 5G dalam tempoh yang cepat kerana masih berhati-hati dengan model SWN," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Pada 16 Mac lalu, Kementerian Kewangan (MoF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memutuskan untuk mengekalkan pelaksanaan rangkaian 5G secara SWN, dengan membuka ruang untuk syarikat-syarikat telekomunikasi memegang ekuiti dalam DNB.

 

Baca : 5G : Kerajaan kekal model SWN, tawar 70% ekuiti dalam DNB kepada syarikat telco

 

Ia menyaksikan kerajaan menawarkan sehingga 70% daripada ekuiti DNB kepada MNO yang komited kepada Perjanjian Akses untuk perkhidmatan borong manakala kerajaan memegang 30% ekuiti.

 

Ahmad Ramzani berkata, tawaran ekuiti yang diberikan seolah-olah mendorong MNO besar (Celcom, Digi, Maxis dan Umobile) menyertai sepenuhnya model SWN DNB walaupun pelupusan ekuiti masih tidak jelas (petunjuk menjelang akhir Jun 2022).

 

"Malah, ia juga kelihatan sebagai tanda muhibah kepada MNO sebagai pertukaran untuk menyokong SWN DNB, akur kepada permintaan industri untuk penyertaan yang lebih besar dalam pelancaran 5G negara," jelasnya.

 

Namun, beliau sedikit positif bahawa DNB semakin akur dengan permintaan MNO, antaranya dari segi penyertaan ekuiti, di sebalik kebimbangan yang dibangkitkan MNO.

 

"Terdapat harapan bahawa rundingan membabitkan MNO, DNB dan SKMM boleh mencapai kata sepakat dan memuaskan hati semua pihak berkepentingan menjelang Jun 2022, tetapi kami masih kekal berhati-hati dan percaya ia akan tertangguh lagi," tambahnya.

 

Melihat kepada cabaran yang masih membelenggu pelancaran 5G negara, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor telekomunikasi. - DagangNews.com