Syarikat sarung tangan getah akan terus mencatat kerugian pada suku akan datang - AmInvestment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat sarung tangan getah akan terus mencatat kerugian pada suku akan datang - AmInvestment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Dis - Kerugian syarikat pengeluar sarung tangan getah dijangka semakin meningkat dalam tempoh dua suku akan datang ekoran penurunan harga jualan purata secara berterusan pada bulan ini.

 

Malah, AmInvestment Bank Research mendapati situasi itu semakin diburukkan lagi dengan kenaikan kos operasi terutamanya gas asli dan kadar penggunaan industri yang rendah.

 

Menurutnya, kenaikan kos operasi (tenaga dan buruh) telah menyebabkan pembuat sarung tangan terbesar dunia, Top Glove Corp Bhd. mengalami kerugian sulung pada suku keempat berakhir 31 Ogos 2022 (FY22) sejak disenaraikan.

 

Katanya, persaingan sengit dalam kalangan pembuat sarung tangan serantau yang berpunca daripada lebihan kapasiti dan permintaan rendah telah menyebabkan penurunan ASP daripada kemuncaknya pada suku kedua 2021.

 

"Hartalega Holdings Bhd. dan Kossan Rubber Industries Bhd. pula dijangka mencatat kerugian dalam dua suku akan datang, manakala kerugian Top Glove akan terus melebar, sebelum kembali merekodkan prestasi lebih baik, paling awal pada suku kedua 2023 dan seterusnya," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

 

Top Glove

 

 

Berdasarkan semakan firma itu, ASP pada Disember telah menurun dalam julat antara AS$17 hingga AS$19 per 1,000 keping memandangkan syarikat pengeluar sarung tangan getah mahu mengekalkan kadar penggunaan apabila pengguna membandingkan harga dengan pengeluar dari China yang menjual sekitar AS$14 hingga AS$15.

 

"Walaupun kualiti sarung tangan getah perubatan Malaysia lebih baik daripada China, tetapi pengurangan sebanyak 18 hingga 21% dilihat cukup menarik untuk pelanggan akhir mendapatkan sumber dari negara itu, terutamanya pelanggan Eropah yang kurang mengambil berat tentang risiko geopolitik seperti perang perdagangan Amerika Syarikat (AS)-China.

 

"Mengambil kira faktor ini, kami percaya ASP akan terus menurun dan kadar penggunaan menimbulkan risiko yang lebih tinggi bahawa kitaran penambahan inventori akan menjadi lebih lewat daripada suku kedua 2023," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, AmInvestment mengulangi pandangan 'neutral' terhadap sektor sarung tangan getah dengan mengekalkan saranan 'jual' terhadap Top Glove manakala 'pegang' bagi Hartalega dan Kossan. 

 

Susulan jangkaan ASP lebih rendah, firma itu mengurangkan nilai wajar Hartalega kepada RM1.59 daripada RM1.78 sesaham sebelum ini dengan hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23), FY24 dan FY25 disemak lebih rendah masing-masing sebanyak 15%, 41% dan 39%.

 

Nilai wajar Kossan juga dikurangkan kepada RM1 (daripada RM1.19) dengan hasil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) hingga FY25 dikurangkan sebanyak 17%, 4% dan 4%.

 

Sebaliknya, nilai wajar Top Glove dikekalkan pada 60 sen sesaham berdasarkan kepada anggaran ASP yang lebih konservatif di tengah-tengah penurunan harga sarung tangan getah. 

 

 

hartalega

 

 

Disebabkan permintaan lemah, kadar penggunaan industri berlegar sekitar 30 hingga 50% pada suku ketiga berbanding kadar optimum antara 80 hingga 85%. 

 

AmInvestment percaya kadar penggunaan lemah akan berterusan sehingga suku pertama 2023 yang akan menyebabkan kadar perbelanjaan operasi lebih tinggi berikutan skala ekonomi lebih rendah.

 

"Kami menjangkakan permintaan sarung tangan getah tahun ini menurun 15%, berdasarkan kepada permintaan global dalam tempoh lapan bulan tahun ini (susut 19% tahun ke tahun) dan gabungan jualan ketiga-tiga syarikat sarung tangan getah di bawah liputan kami yang jatuh 12% tahun ke tahun.

 

"Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) bagaimanapun menjangkakan kadar pertumbuhan antara 10 hingga 12% tahun ke tahun, yang mana kami lihat terlalu optimistik," jelasnya. 

 

Bagi mengurangkan tekanan bekalan, pengeluar sarung tangan juga telah sebulat suara mengumumkan pelarasan pengembangan kapasiti mereka dalam tempoh beberapa bulan akan datang. 

 

 

Kossan

 

Hartalega memberi petunjuk bahawa barisan pertama NGC 1.5, dengan jumlah kapasiti tahunan sebanyak 19 bilion keping, akan ditangguhkan daripada tarikh pentauliahan asal pada Oktober tahun ini. 

 

Selain itu, Hartalega sedang berusaha menghentikan beberapa barisan pengeluaran yang tidak cekap untuk mengurangkan kos.

 

Top Glove turut menyemak semula pelan pengembangannya untuk mencapai kapasiti tahunan sebanyak 204 bilion keping kepada 115 bilion keping pada Disember 2025. 

 

Pada masa sama, Kossan memberi panduan untuk menangguhkan pelan pengembangan kapasiti dalam tempoh terdekat sejajar dengan keadaan pasaran dan mengurangkan lebihan bekalan.  - DagangNews.com