Syarikat pembungkusan plastik dijangka catat kadar pesanan kukuh ekoran kenaikan harga resin | DagangNews Skip to main content

Syarikat pembungkusan plastik dijangka catat kadar pesanan kukuh ekoran kenaikan harga resin

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Syarikat pembungkusan plastik dijangka mencatat kadar pesanan kukuh dalam jangka masa singkat didorong aktiviti penyimpanan semula stok daripada pelanggan ekoran kenaikan harga resin.

 

Kenanga Research berkata, momentum peningkatan dalam jualan seharusnya kekal pada separuh kedua tahun ini.

 

Di samping itu, syarikat-syarikat dalam sektor itu melihat sambutan yang menggalakkan terhadap bahan pembungkusan mampan mereka.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pemain industri tempatan telah memperoleh bahagian pasaran daripada rakan antarabangsa mereka, memanfaatkan kos tenaga yang lebih rendah dan produk inovatif seperti filem regangan nano dan filem mono yang mampan.

 

"Kami menyemak naik penarafan sektor itu kepada 'overweight' berbanding 'neutral'.

 

"Menurut KPMG, pasaran pembungkusan plastik global diunjurkan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun 5% dari 2021 hingga 2026,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Menurut Kenanga Research, SLP Resources Bhd berjaya menarik pelanggan baharu, khususnya di ASEAN untuk filem mono, didorong oleh keutamaan yang semakin meningkat terhadap pembungkusan mampan dan peraturan sisa pembungkusan yang lebih ketat di Eropah dan Vietnam.

 

"Sesetengah syarikat telah mengembangkan kapasiti mereka secara strategik dalam filem regangan premium yang menawarkan margin tinggi dan produk filem dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

 

"Thong Guan Industries Bhd, telah mentauliahkan barisan filem regangan nano kesembilannya pada tahun kewangan 2023, manakala BP Plastics Holding Bhd turut memperkenalkan mesin filem regangan kesembilan dan kesepuluhnya masing-masing pada Disember 2021 dan Disember 2022," katanya.

 

Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, terdapat risiko penurunan margin disebabkan peningkatan kos operasi dan pengangkutan kesan daripada konflik Laut Merah yang semakin meningkat.- DagangNews.com