Syarikat JV milik Bumi Armada terima lanjutan kontrak sewa-carter firma minyak nasional India | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Syarikat JV milik Bumi Armada terima lanjutan kontrak sewa-carter firma minyak nasional India

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 16 Jun - Syarikat milik bersama Bumi Armada Bhd, SP Armada oil Exploration Private Limited (SPAOEPL) telah menerima pemberitahuan daripada firma minyak milik kerajaan India, Oil and Natural Gas Corp Ltd (ONGC), mengenai hasratnya untuk melanjutkan sewa-carter Armada Kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan Sterling II (FPSO) selama satu tahun.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata nilai lanjutan kontrak adalah kira-kira AS$43 juta (RM198.65 juta).

 

Di bawah kontrak asal yang ditandatangani antara ONGC dan SPAOEPL pada 13 Mac 2013, Armada Sterling II FPSO telah disewa oleh ONGC untuk beroperasi di medan ONGC Cluster-7 yang terletak kira-kira 210km dari pantai barat Mumbai, India, di bawah carter bagi tempoh sembilan tahun dengan tujuh pilihan lanjutan tahunan.

 

Carter sembilan tahun asal firma tersebut akan tamat tempoh pada 7 Mac 2024.

 

Bumi Armada mempunyai 49% kurang satu pemilikan saham SPAOEPL manakala Shapoorji Pallonji Energy Private Limited milik India memegang 51% campur satu saham.

 

Kumpulan itu berkata pelanjutan kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa depan kumpulan Bumi Armada. - DagangNews.com