Suria Capital lancar perkhidmatan penghantaran kontena CVM di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Suria Capital lancar perkhidmatan penghantaran kontena CVM di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Suria Capital Holdings Bhd melancarkan perkhidmatan penghantaran kontena China-Vietnam-Malaysia (CVM) baharu dengan kerjasama SITC International Holdings Co., Ltd di Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar (SBCP).

 

Di bawah laluan CVM, SITC akan menyediakan perkhidmatan langsung mingguan untuk Nansha, Shekou, Haiphong, Qinzhou, Ho Chi Minh, Kuching, Bintulu dan Kota Kinabalu (SBCP), menurut kenyataan media Suria Capital.

 

Kumpulan itu berkata empat kapal akan ditempatkan secara bergilir-gilir dengan setiap kapal mempunyai kapasiti tampung sehingga 1,032 unit bersamaan dua puluh kaki (TEU).

 

Perkhidmatan baharu itu akan menggalakkan pertumbuhan perdagangan antara China, Vietnam dan Malaysia Timur kerana mereka akan mendapat manfaat daripada peningkatan kapasiti, masa transit yang lebih baik dan sambungan antara pelabuhan secara mingguan yang terjamin.

 

Sempena pelancaran perkhidmatan kontena CVM baharu itu, Suria Capital menerima ketibaan kapal MV. HF Spirit di pelabuhan tersebut.

 

Menurut Pengarah Urusan Sabah Ports Sdn Bhd, Datuk Ng Kiat Min, syarikat itu akan memenuhi jangkaan peningkatan jumlah kontena melalui kerjasama dengan pemain industri strategik yang menyediakan rangkaian yang boleh dipercayai untuk pergerakan barangan memandangkan perniagaan terus pulih selepas pandemik.

 

 

Datuk Ng Kiat Min
Datuk Ng Kiat Min

 

 

“Kami berharap dapat membina perkongsian kukuh dengan SITC dan ejen tempatan mereka, Dynamic Linkage Logistics Sdn Bhd.

 

"Kerjasama ini menandakan keyakinan SITC terhadap keupayaan SBCP dan kerjasama ini akan mengukuhkan masa depan SBCP sebagai hab pemindahan penghantaran serantau,” ujar beliau.

 

Menurut statistik Alphaliner, dikira mengikut kapasiti, SITC berada di kedudukan ke-13 dalam perusahaan perkapalan kontena global setakat 31 Disember 2022.

 

Berpangkalan di Hong Kong, SITC mengendali 108 kapal, termasuk 84 kapal milik sendiri. Mereka mengendali lebih 75 laluan perkhidmatan yang meliputi 17 negara dan 76 pelabuhan utama di kawasan Tanah Besar China, Jepun, Korea, Taiwan, Hong Kong, Vietnam, Thailand, Filipina, Kemboja, Indonesia, Singapura, Brunei, Malaysia, Bengal, Myanmar, Rusia dan India.

 

Pada waktu penulisan, saham Suria Capital susut 2 sen atau 1.6% kepada RM1.22 dengan modal pasaran berjumlah RM421.9 juta. - DagangNews.com