KUALA LUMPUR 14 April - Supermax Corporation Berhad menggesa bekas pekerja asing untuk memohon pembayaran balik sebarang yuran yang dibayar untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat, bagi melengkapkan transformasi dasar buruhnya.
Dalam satu kenyataan semalam, syarikat sarung tangan itu berkata ia terus menjalankan kempen bantuan bagi membuat susulan usaha terdahulu dilaksanakan di Nepal dan Bangladesh, meminta bekas pekerja yang telah membayar yuran pengambilan untuk mendapatkan bayaran balik.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Supermax, Datuk Seri Stanley Thai berkata matlamat syarikat adalah mencari setiap pekerja yang telah membayar yuran pengambilan kerja bagi melengkapkan transformasi menyeluruh dasar buruh syarikat.

Supermax telah menubuhkan dana penjelas pada Mac 2022 untuk membayar balik yuran pengambilan bekas pekerja yang telah kembali ke negara asal mereka.
Dana itu diuruskan oleh Jawatankuasa Penasihat dan Tadbir Urus yang diketuai oleh Elevate, sebuah pembekal perkhidmatan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), kemampanan dan rantaian bekalan yang terkenal di dunia.
Di sampung itu, jawatankuasa itu juga dibimbing oleh pakar hak pekerja asing bebas seperti Adrian Pereira, Pengarah Eksekutif Inisiatif Utara-Selatan, sebuah NGO berpangkalan di Malaysia yang menyokong hak pekerja asing.
Pereira percaya Supermax telah menjadi model untuk penyelesaian buruh yang komprehensif dan mampan dalam pembuatan Malaysia, di mana pihaknya telah melakukan kerja dengan teliti sehingga seorang pekerja yang meninggalkan syarikat pada tahun 2004 ditemui dan membayar balik yuran pengambilan mereka.
Sejak Oktober 2021, Supermax telah tertakluk pada perintah pelepasan penahanan (WRO) Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) yang menghalang import produk sarung tangan perubatannya ke AS.
"Supermax telah melaksanakan penambahbaikan standard untuk menawarkan pendekatan berani terhadap masalahnya sebelum ini dengan menghasilkan persekitaran kerja bermaruah untuk kedua-dua buruh tempatan dan asing,” ujar beliau. -DagangNews.com








