KUALA LUMPUR 17 Jan - Sunway Group mendominasi Putra Brand Awards 2022 dengan meraih lima anugerah, termasuk diiktiraf sebagai jenama terbaik pada majlis tersebut.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah juga memenangi anugerah Putra Personality of the Year, bagi meraikan pencapaiannya dalam membina salah satu jenama paling ikonik Malaysia.
Ia juga bagi mengiktiraf komitmen dan sumbangan beliau sepanjang hayatnya kepada pembinaan negara melalui pendidikan, penjagaan kesihatan serta pembangunan mampan.
Majlis tersebut menyaksikan Sunway Education Group merangkul anugerah platinum dalam kategori pendidikan dan pembelajaran.
Manakala, Sunway Lagoon dan Sunway Property masing-masing membawa pulang anugerah gangsa dalam kategori hiburan serta hartanah.
Jeffery berkata, ia adalah perjalanan yang panjang, dengan banyak jatuh bangun sejak penubuhan jenama itu pada tahun 1974.
"Saya ingin memberi penghormatan kepada kerja keras, dedikasi dan daya tahan seluruh keluarga Sunway, yang membentuk kumpulan menjadi sebuah jenama.

“Kejayaan dan pertumbuhan Sunway membolehkan saya menubuhkan sebuah yayasan yang didedikasikan untuk pembinaan negara dan memberi kembali kepada masyarakat dengan cara yang memberi kesan.
"Saya berharap apa yang kami lakukan di Sunway dan Yayasan Jeffrey Cheah akan memberi inspirasi kepada orang lain untuk menyertai kami dalam misi untuk membina masa depan yang lebih progresif, mampan dan inklusif untuk semua,” katanya.
Beliau yang juga pengasas Yayasan Jeffrey Cheah telah menyumbang sebanyak RM618 juta biasiswa dan geran kepada rakyat Malaysia yang layak setakat ini.

Putra Brand Awards 2023 menerima lebih 25,000 maklum balas daripada orang ramai sepanjang tempoh pengundian selama lapan minggu dari akhir September hingga pertengahan November.
Pengguna telah dipelawa mengambil bahagian dalam tinjauan pengundian terbuka kepada awam yang diterbitkan di 60 laman web. - DagangNews.com








