KUALA LUMPUR 22 Feb - Sumbangan lebih rendah daripada segmen sewa beli dan perabot menjadi punca utama untung bersih Elk-Desa Resources Bhd susut kepada RM9.6 juta pada suku ketiga berakhir 31 Disember 2023 (3QFY24) berbanding RM11.1 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Hasil kumpulan itu bagi suku berkenaan bagaimanapun meningkat kepada RM42.77 juta berbanding RM39.35 juta pada tahun sebelumnya.
Secara kumulatif, hasil Elk-Desa bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Disember 2023 (9MFY24) ialah RM121.14 juta berbanding RM114.95 juta pada 9MFY23 manakala keuntungan bersihnya susut kepada RM26.9 juta berbanding RM40.24 juta bagi tempoh sama tahun lalu.
"Kemerosotan keuntungan itu adalah disebabkan oleh ketiadaan pembalikan rosot nilai untuk segmen sewa beli pada suku pertama tempoh kewangan sebelumnya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu berkata, secara kumulatifnya, hasil segmen sewa beli meningkat sebanyak 12% kepada RM83.15 juta disebabkan peningkatan dalam portfolio sewa beli.
Katanya, elaun rosot nilai meningkat kepada RM19.05 juta daripada RM200,000 tahun lepas. Caj kerugian kredit (iaitu elaun rosot nilai ke atas purata belum terima sewa beli bersih) juga meningkat daripada 0.04% kepada 3.05%.
"Elaun rosot nilai yang lebih tinggi dan caj kerugian kredit disebabkan pembayaran balik yang lebih perlahan daripada penyewa selain kerugian yang lebih tinggi yang ditanggung daripada jualan kenderaan yang ditarik semula," katanya.
Sementara itu, hasil segmen perabot bagi 9MFY24 susut sebanyak 6% kepada RM37.99 juta disebabkan jualan yang lebih rendah berbanding tempoh yang sama sebelumnya.
Margin keuntungan kasar juga menurun daripada 38% kepada 36% terutamanya disebabkan oleh kos pembelian barangan import yang lebih tinggi akibat pertukaran asing yang lebih lemah dan ditambah pula dengan kemerosotan margin umum akibat daripada persaingan yang lebih sengit.
Hasilnya, segmen ini mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM2.01 juta berbanding RM3.95 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Kewangannya, Teoh Seng Hee berkata, portfolio pembiayaan sewa beli pihaknya sehingga kini telah melepasi tahap pra pandemik dan kumpulan itu berhasrat mengembangkan lagi perniagaannya dengan mengutamakan kualiti aset.
Beliau berkata, pihaknya mengalami kerugian yang besar daripada jualan kenderaan yang ditarik balik terutamanya disebabkan oleh penurunan harga kereta yang lebih ketara sejak Jun 2023.
"Melangkah ke hadapan, kami menyasarkan untuk mengurangkan lagi nisbah ini melalui usaha pemulihan aset yang proaktif sambil memacu nilai yang mampan untuk pemegang saham kami,” katanya. - DagangNews.com








