Sultan Ibrahim cemar duli saksi sukan rakyat di Kampungstay@Teluk Buih  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sultan Ibrahim cemar duli saksi sukan rakyat di Kampungstay@Teluk Buih 

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyaksikan sukan rakyat di pekarangan Kafe Kuntum di Kampungstay@Teluk Buih di Mersing, Johor, baru-baru ini.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos - Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mencemar duli menyaksikan sukan rakyat ketika konvoi Kembara Mahkota Johor (KMJ) 2023 singgah ke destinasi terakhir pada hari pertama di Kampungstay@Teluk Buih di Mersing, Johor.

 

Keberangkatan tiba Sultan Ibrahim di destinasi pelancongan terbaharu Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) itu disambut Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar; Tunku Panglima Johor, Tunku Abdul Rahman; Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar dan Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

 

Terdahulu, rombongan diraja dibawa melawat vila tersebut dan meluangkan masa melihat penanaman pokok bakau berhampiran perkarangan vila sebelum melawat kawasan pameran di Dewan Samudera, yang mana disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat.

 

Baidzawi berkata, KampungStay@Teluk Buih kini merupakan satu lagi destinasi pelancongan “mesti dilawati” di Mersing. 

 

Katanya, penginapan bertemakan resort yang unik di persekitaran kampung yang indah itu akan meningkatkan penawaran pelancongan di Mersing. 

 

"Projek ini dibangunkan sebagai pusat aktiviti atau “staging base” untuk menggalakkan pelancong berinteraksi dengan penduduk tempatan dan menyertai aktiviti pelancongan.

 

"Ini telah membuka jalan kepada penciptaan lebih banyak peluang keusahawanan dan pekerjaan berkaitan pelancongan di kawasan sekitar," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

 

ECERDC
Tunku Idris Iskandar berkenan mencemar duli menyaksikan penanaman pokok bakau di pekarangan villa di KampungStay@Teluk Buih, Mersing, Johor, baru-baru ini.

 

 

KampungStay@Teluk Buih yang siap pada November tahun lalu memberikan pengalaman mengasyikkan dalam suasana kampung untuk pelancong. 

 

Projek yang melibatkan pembinaan 10 chalet, dewan serbaguna dan restoran itu telah diserahkan kepada Majlis Daerah Mersing (MDM) pada 16 April 2023.

 

Projek ECERDC lain di Mersing termasuk PETA Rainforest Discovery Centre (RDC), pusat sehenti untuk pelancong dan pelawat ke Taman Negara Endau-Rompin Johor.

 

 

ECERDC
Datuk Baidzawi Che Mat memberi penerangan kepada Tunku Idris Iskandar tentang pelaksanaan projek-projek ECERDC di Mersing.

 

 

Selain itu, Lembah Tenusu Jemaluang yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Lembah Tenusu ECERDC di bawah agrofood@ECER serta Endau-Taman Pemprosesan Ikan Mersing (EMFPP) yang membolehkan pemain tempatan menyertai aktiviti hiliran perikanan.

 

KMJ 2023 kembali tahun ini selepas tiga tahun terhenti akibat pandemik COVID-19. Kali terakhir Kembara Mahkota diadakan pada 2019 yang mana baginda mengharungi perjalanan hampir 800 kilometer merentasi 10 daerah Johor untuk bertemu rakyat. - DagangNews.com