Straits Energy sertai landskap 4G/5G dengan kerjasama EdgePoint Towers | DagangNews Skip to main content

Straits Energy sertai landskap 4G/5G dengan kerjasama EdgePoint Towers

KUALA LUMPUR 15 Mac - Syarikat bunker minyak terkemuka Malaysia, Straits Energy Resources Bhd. maju selangkah lagi dengan penyertaan dalam landskap 4G/5G dengan termeterainya memorandum persefahaman (MoU) menerusi anak syarikat tidak langsungnya, Straits CommNet Solutions Sdn. Bhd. bersama EdgePoint Towers Sdn. Bhd. 

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, kedua-dua pihak berhasrat untuk mengadakan perbincangan bersama untuk bekerjasama dan menyertai peluang perniagaan yang luas dalam 4G dan 5G.

 

Selain itu, ia merangkumi pelancaran rangkaian persendirian, transformasi digital dan aspirasi IR4.0 minyak dan gas, pengurusan pelabuhan serta sektor pengangkutan melalui Teknologi Pintar dan IoT di Malaysia dan serantau.

 

EdgePoint Towers adalah entiti operasi untuk EdgePoint Group di Malaysia, menyediakan keperluan infrastruktur telekomunikasi pengendali rangkaian mudah alih dengan lebih daripada 800 menara, memegang kedua-dua lesen NFP (Penyedia Kemudahan Rangkaian) dan NSP (Penyedia Perkhidmatan Rangkaian). 

 

Ia menyasar untuk menyediakan infrastruktur sedia 5G melalui membina dan memajak gentian bersepadu dan insfrastruktur telekomunikasi moden yang boleh dikongsi serta menyediakan penyelesaian seperti sel kecil dan sistem dalam bangunan.

 

 

Sunny Ho Khin Choy
Sunny Ho Khin Choy

 

 

Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Straits CommNet, Sunny Ho Khin Choy berkata, syarikat berharap dapat bekerjasama rapat dengan EdgePoint, yang membuat kemajuan besar dalam memacu pengembangan penyelesaian sambungan generasi akan datang bagi penyedia rangkaian telekomunikasi di seluruh rantau ASEAN. 

 

"Melalui kerjasama ini, Straits CommNet akan menjadi pembekal penyelesaian dan peralatan untuk melengkapkan penawaran infrastruktur telekomunikasi EdgePoint di Malaysia dan serantau," katanya. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif EdgePoint Towers, Muniff Kamaruddin pula berharap dapat bekerjasama dengan Straits CommNet untuk memperkenalkan tawaran komunikasi yang akan mengubah landskap perindustrian di Malaysia. 

 

"Pemodenan dan kemajuan masa depan pelbagai sektor perindustrian adalah usaha yang menawarkan peluang luas untuk perniagaan serta entiti yang berminat untuk mengejar potensi besar. 

 

"EdgePoint bersedia untuk mengoptimumkan infrastruktur generasi akan datang kami untuk mencapai matlamat bersama dengan Straits CommNet,” jelasnya. 

 

Bulan lalu, kumpulan telah melantik pakar telekomunikasi, Khin Choy untuk menerajui Straits CommNet, berdasarkan pengalamannya mengetuai pelbagai bahagian penting dalam Digital Nasional Bhd., Edotco Axiata, Nokia Malaysia dan Ascom, yang antara lain, akan menerajui usaha Straits dalam ruang digital yang dipacu 4G/5G. - DagangNews.com