KUALA LUMPUR 3 Nov - ST Telemedia Global Data Centres (STT GDC) dan Basis Bay telah menjalin usahasama untuk pembangunan, pembinaan dan pengendalian projek pusat data di Kuala Lumpur dan Cyberjaya.
Menurut satu kenyataan media bersama hari ini, pembinaan kampus pusat data pertama mereka di Cyberjaya akan menyokong pembangunan dua bangunan di tanah seluas lebih 1.2 hektar untuk menghasilkan beban teknologi maklumat (IT) hampir 20MW (megawatt).
Bangunan pertama, Cyberjaya DC 2, akan memulakan perkhidmatan pada 2024 bertumpukan kepada bank tempatan dan antarabangsa, institusi kewangan, agensi kerajaan dan segmen ekonomi yang lain.
Sementara itu, bangunan kedua, STT Kuala Lumpur 1, dijangka siap menjelang 2025 dan akan berkhidmat untuk segmen hiperskala.
Usahasama strategik ini ialah perkongsian DDI (pelaburan langsung domestik) dan FDI (pelaburan langsung asing) yang unik.

Penyerapan FDI daripada STT GDC, dengan portfolio 85 pusat datanya yang merangkumi 10 geografi, membawa kepakaran global, piawaian antarabangsa, amalan terbaik, teknologi canggih dan akses kepada pasaran lebih luas, termasuk pelanggan hiperskala merentasi platform global syarikat berkenaan.
Pengerusi Eksekutif Basis Bay, Datuk Praba Thiagarajah berkata kerjasama tersebut strategik bagi memenuhi keperluan hiperskala untuk volum dan skala, di samping keperluan institusi kewangan.
“Basis Bay menyediakan perkhidmatan awan premium dan akan terus menjadi penyedia perkhidmatan pusat data yang disesuaikan untuk institusi kewangan,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif,Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Mahadhir Aziz berkata usahasama antara Basis Bay dan STT GDC menyediakan kemudahan pusat data hiperskala bertaraf dunia di Malaysia dan menekankan integrasi kecerdasan buatan (AI) ke dalam perkhidmatannya.
“Usahasama ini juga akan membentuk pusat kecemerlangan untuk melatih bakat kelas atasan tempatan untuk permintaan serantau dan global dalam industri pusat data,” tambahnya. - DagangNews.com








