KUALA LUMPUR 16 Feb - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) memperkenalkan dua inisiatif baharu bagi membantu meringankan beban kewangan syarikat dan membantu komuniti korporat meneruskan perniagaan dalam persekitaran yang mencabar.
SSM dalam satu kenyataan hari ini berkata, inisiatif pertama membabitkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal ke atas syarikat yang berstatus 'dissolved' (lupus) di bawah Akta Syarikat 1965.
Katanya, pelaksanaan inisiatif ini bertujuan meringankan beban kewangan pengarah dan syarikat yang telah tutup.
"Bagi inisiatif kedua, SSM memperkenalkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan lazim di bawah Akta Syarikat 2016.
"Pengurangan kompaun ini diberikan kepada syarikat selepas pematuhan terhadap kegagalan atau kesalahan yang diambil tindakan oleh pihak syarikat. Ia hanya diberikan bagi kesalahan lazim di bawah Seksyen 68(1), Seksyen 248(1), Seksyen 258(1), Seksyen 259(1), Seksyen 340(1), Seksyen 30(1) dan Seksyen 30(2) Akta Syarikat 2016," katanya.
Terdahulu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub, mengumumkan tiga inisiatif pengurangan kompaun bagi 2023 untuk membantu pemulihan ekonomi negara pasca pandemik COVID-19.
SSM berkata, bagi inisiatif ketiga membabitkan pengurangan kompaun sebanyak 90% daripada nilai asal kompaun bagi semua kesalahan di bawah Akta Syarikat 1965, bertujuan memastikan data yang disimpan berhubung entiti syarikat dalam pendaftaran SSM adalah terkini serta mendorong syarikat mematuhi amalan tadbir urus terbaik khususnya serah simpan Penyata Kewangan dan maklumat terkini di SSM.

Katanya, SSM juga akan meneruskan lima lagi inisiatif sedia ada dengan beberapa penambahbaikan, menjadikan bilangan keseluruhan lapan inisiatif SSM pada 2023.
Selain itu, SSM juga melanjutkan tempoh masa pendaftaran SSM BizTrust secara percuma sehingga 31 Disember 2023 dan memperluaskan penggunaan Kod QR SSM BizTrust kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) berdaftar yang boleh diperoleh secara automatik.
Inisiatif kelima, SSM meneruskan pelaksanaan Skim Pendaftaran Perniagaan Prihatin (SPPP), untuk menawarkan pendaftaran perniagaan secara percuma kepada usahawan kumpulan B40 dan pelajar Institut pengajian tinggi (IPT) sepenuh masa.
Katanya, syarat SPPP tahun ini diperluaskan kepada pasangan suami dan isteri usahawan B40 untuk menggalakkan isi rumah usahawan terbabit menjadikan perniagaan sebagai salah satu sumber pendapatan dalam mendepani cabaran ekonomi masa kini.
SSM juga meneruskan pelaksanaan Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P), yang menyediakan pendaftaran dan pembaharuan perniagaan secara percuma bagi menggalakkan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) menceburi bidang perniagaan secara sah.
"SSM akan meneruskan cadangan pindaan bagi menambah baik peruntukan di bawah Akta Syarikat 2016, berkaitan mekanisma penyelamat korporat dan skim kompromi atau perkiraan.
"Penambahbaikan serta pindaan ini akan membolehkan syarikat yang menghadapi masalah kewangan memohon proses rehabilitasi korporat yang bersesuaian supaya syarikat boleh terus beroperasi. Inisiatif ini penting untuk membantu sektor korporat yang menghadapi masalah kewangan, terutama sekali akibat daripada kesan pandemik COVID-19 untuk kekal beroperasi dan menjana ekonomi negara," katanya.
Inisiatif selanjutnya, SSM akan meneruskan cadangan untuk memperkenalkan peruntukan berkaitan mekanisme penyelamat korporat di bawah Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2012. - DagangNews.com








