KUALA LUMPUR 15 Mei - Southern Cable Group Berhad telah menerima kontrak RM90.4 juta daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) untuk membekalkan kabel bawah tanah dan konduktor.
Kontrak baharu ini diperoleh anak syarikatnya, Southern Cable Sdn Bhd, susulan kontrak tambahan lebih RM30 juta yang diterima pada April 2023 dan telah meningkatkan nilai kontrak daripada TNB kepada RM422.5 juta daripada RM332.1 juta sebelumnya.
Pengarah Urusan Southern Cable, Tung Eng Hai berkata kontrak baharu tersebut membuktikan prospek positif kumpulan terhadap permintaan untuk kabel dan wayar berikutan keperluan infrastruktur tenaga di Malaysia, serta menunjukkan kepercayaan TNB kepada syarikat tersebut.

"Dengan rekod prestasi kami yang telah lama berkhidmat kepada syarikat utiliti negara itu, kami optimis dapat memperoleh lebih banyak kontrak untuk memacu pertumbuhan kumpulan di samping menyokong pembangunan infrastruktur negara,” katanya dalam satu kenyataan pada 12 Mei.
Menurut kumpulan itu, jumlah tempahan semasa yang dipegang adalah RM692.7 juta dan perlu dipenuhi sehingga 2024.
Tempahan itu termasuk kabel, wayar tenaga serta produk dan perkhidmatan berkaitan seperti rod aluminium dan pembekalan dan pemasangan sistem penerus untuk rangkaian 5G.
Jualan kabel kuasa dan wayar membentuk lebih daripada 80% daripada pendapatan tahunan kumpulan.
Dari tahun kewangan berakhir 31 Disember 2020 hingga 2022, jualan kabel dan wayar tenaga telah melonjak daripada RM458.4 juta kepada RM749 juta, melaporkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 27.8%, sejajar dengan peningkatan negara dalam aktiviti infrastruktur dalam fasa pemulihan pandemik COVID-19.
Southern Cable adalah pembekal berdaftar untuk kabel dan wayar dengan TNB dan mempunyai hubungan perniagaan yang kukuh sejak 19 tahun lalu.
Selain TNB, kumpulan juga membekalkan kepada pembekal utiliti lain seperti Sabah Electricity Sdn. Bhd. dan Sarawak Energy Berhad.
Setakat pukul 10:25 pagi hari ini, saham Southern Cable telah menokok 1 sen atau 3.5% kepada 30 sen, memberikannya permodalan pasaran bernilai RM240 juta. -DagangNews.com








