KUALA LUMPUR 20 Julai - Solarvest Holdings Bhd. dan pemaju hartanah, NCT Land Sdn. Bhd. akan membangunkan 1,000 unit kilang dan gudang bersolar di Taman Perindustrian Pintar Selangor bagi mengurangkan jejak karbon industri dan komersial.
Ini menyaksikan kedua-dua pihak memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi tempoh 2 tahun dengan skop kerjasama itu termasuklah penyediaan perkhidmatan penyahkarbonan kepada kemudahan tempatan NCT.
"Pelan pembangunan bersama antara kedua-dua pihak itu akan menghasilkan pilihan dalam bidang yang berpotensi untuk kerjasama selanjutnya, termasuk tetapi tidak terhad kepada tenaga boleh diperbaharui (RE) seperti solar dan biotenaga, hidrogen, kecekapan tenaga dan mobiliti elektrik," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
MoU itu dijangka tidak memberi kesan ketara kepada aset bersih dan pendapatan Solarvest dan kumpulannya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022.
Bagaimanapun, Solarvest berkata, apabila kerjasama itu dilaksanakan, ia akan menyumbang secara positif kepada prestasi kewangan kumpulan pada masa depan.
Dalam dagangan berakhir 12.30 tengah hari ini, harga saham Solarvest kekal tidak berubah pada 68 sen. - DagangNews.com








