Smart Asia Chemical bersedia terbitkan IPO Pasaran ACE dengan memeterai taja jamin bersama Mercury Securities | DagangNews Skip to main content

Smart Asia Chemical bersedia terbitkan IPO Pasaran ACE dengan memeterai taja jamin bersama Mercury Securities

Dari kiri, Chew Sing Guan, Goh chye Hin dan Kee Hui Lang pada majlis memeterai taja jamin Smart Asia Chemical dengan Mercury Securities pada 18 April 2024.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 18 April – Smart Asia Chemical Bhd menandatangani perjanjian taja jamin dengan Mercury Securities Sdn Bhd untuk penerbitan tawaran awam permulaan (IPO) syarikat itu di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

Smart Asia dijangka akan disenaraikan pada suku kedua 2024. Mercury Securities ialah Penasihat Utama, Penaja, Penaja Jamin dan Ejen Penempatan IPO.

 

IPO tersebut akan melibatkan terbitan awam sebanyak 93,500,000 saham baharu Smart Asia, di mana Mercury Securities akan menaja jamin 30,592,600 Saham IPO.

 

Ia terdiri daripada 18,492,600 Saham IPO mewakili bahagian yang disediakan kepada orang ramai Malaysia melalui pengundian dan 12,100,000 Saham IPO untuk diperuntukkan kepada pengarah dan pekerja yang layak serta orang yang telah menyumbang kepada kejayaan Smart Asia dan anak syarikatnya.

 

Baki 46,231,400 Saham IPO akan diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan 16,676,000 Saham IPO akan dibuat secara persendirian kepada pelabur terpilih.

 

 

smart asia
Goh Chye Hin (kiri) dan Chew Sing Guan menunjukkan dokumen taja jamin yang dimeterai pada 18 April 2024.

 

 

Smart Asia terlibat terutamanya dalam pembangunan, pembuatan, pengedaran dan penjualan pelbagai jenis cat hiasan, salutan pelindung dan produk berkaitan cat untuk kedua-dua aplikasi isi rumah dan industri.

 

Menurut Smart Asia, hasil daripada IPO akan digunakan untuk membiayai sebahagian daripada pembinaan Kilang Perak, termasuk rancangan pembinaan serta pembelian dan pentauliahan sistem pengeluaran cat automatik.

 

Baki hasil akan digunakan untuk pembelian 250 set Mesin Mewarna POS Warna Pintar, modal kerja dan perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Urusan Smart Asia, Goh Chye Hin berkata, pemeteraian perjanjian taja jamin ini adalah peristiwa penting dalam perjalanan syarikat ke arah inovasi dan pertumbuhan.

 

"Semasa kami memulakan lembaran baharu ini dengan pelancaran Kilang Perak, kami berdedikasi untuk memajukan keupayaan operasi dan automasi kami merentas produk dan perkhidmatan kami ke arah kilang pembuatan Industri 4.0.

 

"Dalam pada itu, kami juga secara konsisten meningkatkan untuk menyediakan penyelesaian perintis yang memenuhi keperluan yang berubah-ubah pihak berkepentingan kami,” kata Goh.

 

Yang turut hadir pada majlis memeterai taja jamin ialah Pengarah Eksekutif Smart Asia Chemical, Kee Hui Lang dan Pengarah Urusan Mercury Securities, Chew Sing Guan. - DagangNews.com