SkyWorld terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SkyWorld terima kelulusan SC untuk disenaraikan di Pasaran Utama

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Mei - SkyWorld Development Bhd telah mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk menyenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Bhd.

 

SkyWorld berkata tawaran awam permulaannya (IPO) melibatkan terbitan awam sebanyak 208 juta saham baharu mewakili kira-kira 20.8% daripada modal saham terbitannya yang diperbesarkan semasa penyenaraian.

 

Pengasas SkyWorld dan pengerusi eksekutif bukan bebas Datuk Seri Ng Thien Phing berkata, pihaknya berbesar hati menerima kelulusan untuk penyenaraian kami di Pasaran Utama Bursa Securities.

 

"Ini merupakan peristiwa penting bagi kami dan menegaskan keyakinan terhadap trajektori pertumbuhan SkyWorld.

 

"Walaupun jalan ke penyenaraian sedang berjalan, kami kekal fokus pada perniagaan kami sambil kami berusaha untuk menyampaikan perkembangan berterusan kami kepada standard tertinggi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


 

Datuk Seri Ng Thien Phing
                             Datuk Seri Ng Thien Phing

 


SkyWorld terlibat terutamanya dalam pegangan pelaburan, penyediaan perkhidmatan pengurusan kepada anak-anak syarikatnya, dan pembangunan hartanah.

 

Daripada 208 juta saham baharu ini, 50 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia, manakala 25 juta saham akan disediakan untuk permohonan oleh pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Baki 133 juta saham baharu akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur institusi dan terpilih.

 

IPO selanjutnya melibatkan tawaran untuk penjualan 192 juta saham sedia ada, bersamaan dengan kira-kira 19.2% daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan kumpulan.

 

Sebanyak 150 juta saham sedia ada akan disediakan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian, manakala baki 42 juta saham sedia ada telah diperuntukkan untuk pelabur institusi dan terpilih.

 

Kenanga Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, penaja jamin dan ejen penempatan untuk pelaksanaan IPO. - DagangNews.com