Sinotop jual saham Be Top untuk tembusi perniagaan digital, mudah alih | DagangNews Skip to main content

Sinotop jual saham Be Top untuk tembusi perniagaan digital, mudah alih

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Syarikat pemegangan pelaburan, Sinotop Holdings Berhad (Sinotop) telah menjual saham anak syarikatnya, Be Top Group Ltd (Be Top) dengan nilai RM70 juta. 

Penjualan saham itu telah diluluskan pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) syarikat hari ini. 

Langkah itu membolehkan Sinotop bebas daripada sebarang komitmen sekaligus dapat membangunkan perniagaan penyelesaian digital dan mudah alih dengan secepat mungkin. 

Sinotop yang kelak ditukarkan kepada Pertama Digital Berhad akan menerima wang balasan secara tunai sebanyak RM33.52 juta daripada penjualan saham berkenaan. 

Wang tersebut akan digunakan bagi mengukuhkan kedudukan dalam syarikat DAPAT Vista (M) Sdn Bhd  menerusi Television Airtime Services Sdn. Bhd. (TAS), pelaburan akan datang serta modal kerja kumpulan syarikat Pertama Digital Berhad.

DAPAT Vista dalam sebuah kenyataannya memberitahu, Sinotop sebelum ini mengumumkan pengambilalihan 51% pegangan saham dalam TAS yang memiliki 20% pegangan saham DAPAT Vista.

DAPAT Vista merupakan pengasas aplikasi MyPay.

Pengarah Eksekutif DAPAT Vista, Sabri Ab Rahman berkata, ‘permata’ di dalam Pertama Digital (Sinotop) adalah aplikasi MyPay yang mula dibangunkan pada 2014.

 

Sabri rahman
Sabri Ab Rahman

 

“Tujuan MyPay adalah untuk menawarkan pusat utama bagi segala pertanyaan dan transaksi pembayaran dengan agensi kerajaan di Malaysia. 

“MyPay merupakan aplikasi telefon pintar yang dibangunkan dengan gerbang bayaran (payment gateway),” jelas Sabri dalam kenyataan sama.

Setelah pengambilalihan pegangan saham TAS, Sinotop telah menampung kewangan bagi melengkapkan proses pengambilalihan DAPAT Vista sebanyak 36% daripada HeiTech Padu Berhad (HeiTech) bernilai RM7.57 million.

Di bawah perjanjian jual beli dengan HeiTech, TAS akan memiliki 80% pegangan saham DAPAT Vista dan setakat ini telah memiliki 29% saham DAPAT Vista.

Dalam pada itu, MyPay yang menerima saingan daripada MyEG Services Berhad merangkumi maklumat penerimaan dan pembayaran bagi tarikh akhir lesen memandu, lokasi mengundi, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), saman polis dan pelbagai lagi. 

“Pada masa ini, DAPAT Vista telah melancarkan perkhidmatan MyPay 2.0 kepada 17 kementerian dan agensi kerajaan.

“Kami telah berunding dengan 374 agensi kerajaan di luar sana daripada perkhidmatan masa lalu di bawah kontrak Build-Operate-Own dengan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia, dan kami telah memaklumkan mereka berhubung MyPay. Kami berhasrat untuk melancarkan aplikasi MyPay pada awal 2021," tambah Sabri. 

Dalam masa sama, MyPay juga akan melancarkan e-dompet (e-wallet). - DagangNews.com