Siemens sumbang RM50,000 bagi pembinaan makmal komputer di sekolah pedalaman | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siemens sumbang RM50,000 bagi pembinaan makmal komputer di sekolah pedalaman

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Sept - Siemens menyumbang sebanyak RM50,000 serta perabot terpakai bernilai RM25,000 menerusi Medical Awareness Camp Outreach (MACO) untuk mendirikan beberapa makmal komputer di sekolah-sekolah terpilih di kawasan pedalaman.

 

Pakej bantuan dan sebahagian daripada sumbangan kelengkapan persekolahan diserahkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Braunston, Jeram, Selangor daripada 19 sukarelawan Siemens dan dua wakil MACO pada 25 Ogos 2022. 

 

Sumbangan kelengkapan persekolahan itu diagihkan kepada 75 pelajar, sementara keluarga mereka menerima pakej bantuan barangan keperluan asas. 

 

Ketua Organisasi dan Sumber Manusia Siemens Malaysia, Ailani Wan Ibrahim berkata, mereka bersyukur diberikan peluang untuk membantu kumpulan masyarakat yang memerlukan bantuan dengan meringkan beban mereka. 

 

"Setiap orang berhak mendapat akses pendidikan, di samping keperluan-keperluan asas lain untuk meneruskan kelangsungan hidup. Siemens akan terus memenuhi matlamat utamanya untuk menyumbang kembali kepada masyarakat, demi menyahut seruan Keluarga Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Ailani turut memaklumkan Siemens Malaysia akan berkunjung ke Pusat Pembelajaran Kampung Orang Asli di Tadika Aslidika yang terletak di Kampung Orang Asli Sungai Bil pada 10 September 2022 bagi mengagihkan baki pakej bantuan dan barangan makanan asas kepada kanak-kanak.

 

Sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-65 tahun ini, Siemens menganjurkan kempen mengutip sumbangan melibatkan pekerja-pekerjanya untuk mendermakan kelengkapan sekolah, peralatan sukan, serta permainan baharu dan terpakai kepada pelajar-pelajar kurang bernasib baik. 

 

 

siemens
Ailani Wan Ibrahim

 

 

Syarikat ini juga mendermakan 110 pakej bantuan yang mengandungi barangan keperluan seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan biskut.

 

Inisiatif ini merupakan usahasama antara Siemens dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), MACO yang diasaskan sekumpulan doktor-doktor pakar serta sukarelawan bukan perubatan. 

 

 

siemens
 Ailani Wan Ibrahim (kiri, hadapan) dan Presiden MACO, Dr Toh Cheng Teik (dua dari kiri, hadapan) bergambar bersama wakil SKJT  Ladang Braunston, Jeram, Selangor ketika sesi penyampaian sumbangan tersebut pada 25 Ogos 2022.

 

 

MACO bekerjasama secara erat dengan sekolah-sekolah dan pertubuhan yang memerlukan bantuan dan mengenal pasti pertubuhan-pertubuhan yang berpotensi menjadi penerima bantuan Siemens.

 

Siemens bekerjasama dengan MACO buat pertama kali pada 2021 menerusi kempen sumbangan komputer riba terpakai kepada Computer Empowerment Project (CEP) anjuran MACO. 

 

 

siemens

 

 

siemens

 

 

Projek tersebut mengumpulkan komputer riba terpakai, membaik pulih komputer serta menyumbangkan kepada pelajar-pelajar yang tidak mampu memiliki komputer riba.

 

Siemens menyumbangkan 163 buah komputer riba yang dibaik pulih kepada pelajar-pelajar dari tujuh buah sekolah di kawasan pedalaman. - DagangNews.com