Shoppymore sasar jualan RM100 juta tahun ini dengan pelancaran dua inisiatif baharu | DagangNews Skip to main content

Shoppymore sasar jualan RM100 juta tahun ini dengan pelancaran dua inisiatif baharu

Datuk Seri Suriani Ahmad (dua dari kiri), Datuk Seri Dr Barani Karunakaran (tiga dari kanan), serta tiga pegawai Shoppymore, Ketua Pegawai Pembangunan, Honrado Dacumos (kiri), Ketua Pegawai Strategi, Deceno Dacumos (dua dari kanan) dan Ketua Pegawai Operasi, Nithiyaa Karunakaran (kanan) di majlis pelancaran Shoppymore, baru-baru ini.
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Feb - Platform beli-belah dagangan secara langsung, Shoppymore melancarkan aplikasi baharu dan platform dagangan secara langsung lihat imbas dan bayar (Live Commerce Watch Scan & Pay).

 

Dua inisiatif itu dilancarkan sempena meraikan penubuhan rasmi dan pencapaian 18 bulan syarikat dalam segmen e-dagang. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Shoppymore, Datuk Seri Dr Barani Karunakaran berkata, platform 'Live Selling' dan 'Live Shopping' membantu penjual memperoleh jualan dengan pantas dan syarikat menyasarkan jualan sebanyak RM100 juta tahun ini.

 

Katanya, segmen Live Commerce direka untuk membantu dan mempromosikan pemasaran digital, meskipun penjual mempunyai pengetahuan dan pengalaman terhad. 

 

 

Foto 1_ Shoppymore Intrapreneurs & Pemimpin Eksekutif.
Barisan usahawan dan pemimpin eksekutif Shoppymore. ​​

 

 

"Usahawan Malaysia mengeluarkan produk berkualiti tinggi yang boleh dan seharusnya dipasarkan di peringkat antarabangsa menerusi platform digital.

 

“Kami berharap dapat membantu penjual kami membina dan mendigitalkan perniagaan mereka menerusi inisiatif-inisiatif yang dilancarkan ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Aplikasi tersebut dijangka memacu perniagaan dan terus mempromosikan produk tempatan dalam sektor e-dagang runcit dengan menyediakan akses yang lebih mudah dan lebih cepat di mana-mana saja dan pada bila-bila masa.

 

Tambahan pula, inisiatif dagangan secara langsung lihat imbas dan bayar membantu golongan penjual mengetengahkan dan mempromosikan produk mereka dengan lebih pantas serta menjangkau khalayak yang lebih meluas. 

 

 

Acara menandatangani MoU antara Shoppymore dengan Ipay88, City-Link Express dan MYWAU Malaysia. (Dari kiri ke kanan) Pengarah Urusan MyWau Malaysia, Mohd Faiz Bin Zakaria, Barani Karunakaran, Ketua Perkongsian Inovatif & O2O IPay88 (M) Sdn. Bhd., Johnny Chong, Ketua Pegawai Eksekutif City-Link Express (M) Sdn. Bhd., Ronald Tan.
Acara menandatangani MoU antara Shoppymore dengan Ipay88, City-Link Express dan MYWAU Malaysia. (Dari kiri ke kanan) Pengarah Urusan MyWau Malaysia, Mohd Faiz Bin Zakaria, Barani Karunakaran, Ketua Perkongsian Inovatif & O2O IPay88 (M) Sdn. Bhd., Johnny Chong, Ketua Pegawai Eksekutif City-Link Express (M) Sdn. Bhd., Ronald Tan.

 

 

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Suriani Ahmad yang merasmikan majlis pelancaran berkenaan memuji komitmen Shoppymore yang menyokong usaha kerajaan untuk membantu usahawan tempatan dan mempromosikan produk buatan Malaysia di rantau ini menerusi inisiatif pendigitalan.

 

Majlis berkenaan turut menyaksikan Shoppymore menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama Ipay88, City-Link Express dan MYWAU Malaysia, masing-masing sebagai gerbang pembayaran rasmi, rakan logistik serta rakan kongsi strategik dan rasmi platform berkenaan.

 

Dilancarkan pada Jun 2021, Shoppymore merupakan rangkaian dagangan secara langsung yang boleh diakses di platform dalam talian dan mudah alih. - DagangNews.com