Setel lancar DuitNow QR, kerjasama dengan PayNet perluas perkhidmatan aplikasi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setel lancar DuitNow QR, kerjasama dengan PayNet perluas perkhidmatan aplikasi

oleh HUDA HASSAN

KUALA LUMPUR 3 April - Setel melancarkan DuitNow QR menyertai ekosistem berskala besar yang dioperasikan oleh Payments Network Malaysia Sdn. Bhd. (PayNet).

 

Dengan perkembangan itu, menurut Setel, pengguna aplikasi mereka kini boleh mengimbas dan membuat pembayaran di mana-mana kedai yang menyediakan kod DuitNow QR.

 

Pada masa sama, tambahnya, manfaat kerjasama itu juga boleh dinikmati peniaga-peniaga DuitNow QR yang kini turut memiliki akses kepada para pengguna aktif Setel.

 

“Dalam tempoh satu tahun, pengguna Setel juga akan dapat menghantar dan menerima dana melalui DuitNow QR serta menjana kod DuitNow QR mereka sendiri bagi memudahkan  pemindahan dana ke e-dompet mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Integrasi DuitNow QR dengan fungsi “Setel Pay” dalam aplikasinya berpotensi untuk meluaskan lagi penggunaan kaedah bayaran tanpa tunai dalam kalangan pengguna. 

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Setel, Mazlin Erawati Ab Manan berkata, pelanggan Setel merupakan teras organisasi syarikat dan mereka telah menerima banyak permintaan untuk memperluaskan kemudahan yang ditawarkan.

 

“Integrasi dengan DuitNow QR itu jelas membuktikan komitmen kami untuk menawarkan perkhidmatan yang terbaik khususnya bagi demografik pelanggan kami yang paling utama, iaitu pengguna kenderaan.

 

“Pada masa sama, kami juga akan terus berusaha untuk menjadikan Setel lebih inklusif dan mudah diakses oleh lebih ramai pelanggan bagi kegunaan runcit dan lain-lain,” katanya.

 

Ketua Pegawai Komersial PayNet, Gary Yeoh berkata, beliau teruja dengan kerjasama itu sekali gus memberikan komitmen mereka untuk mencapai aspirasi kewangan yang inklusif dan berinovasi termasuk di luar Malaysia.

 

“Menerusi kerjasama antara Setel dan DuitNow QR ini, kami dapat menaik taraf kemudahan dan aksesibiliti buat seluruh rakyat Malaysia,” katanya.

 

Bermula 30 Mac 2023 hingga 31 Mei 2023, pengguna Setel dapat mengumpukan mata ganjaran Mesra bagi setiap transaksi bayaran yang dibuat melalui DuitNow QR.

 

Mata ganjaran tersebut boleh ditebus untuk pembelian petrol serta pelbagai ganjaran menarik yang lain. - DagangNews.com