KUALA LUMPUR 15 Jun - Serba Dinamik Holdings Bhd mencatatkan kerugian bersih suku tahunan terbesarnya sebanyak RM972.91 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2023 (3QFY2023), terutamanya disebabkan oleh kemerosotan nilai penghutang perdagangan berjumlah RM865.1 juta yang timbul daripada projek yang tidak dapat dilaksanakan oleh syarikat.
Syarikat minyak dan gas bermasalah itu, yang mencatatkan kerugian selama tujuh suku berturut-turut, mencatatkan kerugian bersih RM89.67 juta pada 2QFY2023. Bagi 3QFY2022, kerugian bersihnya ialah RM434.19 juta.
Kerugian sesaham meningkat kepada 26.1 sen daripada 11.7 sen. Hasil suku tahunan susut 97% kepada RM6.18 juta daripada RM205.48 juta, disebabkan sumbangan yang lebih rendah daripada semua bahagian perniagaan.
Hasil segmen Operasi dan penyelenggaraan (O&M) menguncup 97.42% kepada RM5 juta daripada RM193.74 juta, manakala kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan mencatatkan penurunan hasil sebanyak 92.24% kepada RM544,000 daripada RM7.01 juta.
Hasil bagi teknologi maklumat dan komunikasi susut kepada RM241,000 daripada RM2.69 juta manakala pendapatan segmen pendidikan dan latihan turun kepada RM389,000 daripada RM2.05 juta.
Memandang ke hadapan, kumpulan itu menjangkakan operasinya akan kekal mencabar tahun ini disebabkan ketidaktentuan dalam ekonomi global serta cabaran semasa yang dihadapi syarikat dari perspektif kecairan.
“Kumpulan itu berpendapat bahawa segmen O&M akan kekal sebagai kecekapan terasnya dan menyediakan asas operasinya.
"Dengan kumpulan itu diklasifikasikan sebagai syarikat Nota Amalan 17 (PN17), lembaga pengarah syarikat berjanji untuk menyelesaikan isu yang berterusan, termasuk pelan penstrukturan dan penyelarasan, demi kepentingan terbaik pihak berkepentingan,” tambahnya.
Serba Dinamik terjerumus ke dalam status PN17 pada Januari tahun lepas, selepas juruaudit luarnya Nexia SSY PLT, menyatakan penafian pendapat mengenai penyata kewangan terauditnya untuk tempoh kewangan 18 bulan berakhir 30 Jun 2021.
Pada akhir Mac, pinjaman syarikat berjumlah RM3.72 bilion berbanding tunai RM36.45 juta. - DagangNews.com








